Projek Kolam Renang Kompleks Sukan Tawau Diteruskan Tahun Ini Dan Kompleks Sukan Tenom Tumpuan KBSS

Menteri Sukan dan Belia, Phoong Jin Zhe sedang diberi taklimat mengenai pembangunan Kompleks Sukan Tawau. -Gambar Facebook Phoong Jin Zhe(冯晋哲)

TAWAU, 24 Jun – Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) mahu projek kolam renang yang terbengkalai bernilai RM14 juta di Kompleks Sukan Tawau (KST) diutamakan untuk disiapkan.

Menterinya, Phoon Jin Zhe berkata status projek bertaraf antarabangsa itu akan dibincangkan dengan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam tempoh terdekat ini.

Menteri Sukan dan Belia, Phoong Jin Zhe sedang diberi taklimat mengenai pembangunan Kompleks Sukan Tawau. -Gambar Facebook Phoong Jin Zhe(冯晋哲)

“(Dijangka) bulan depan, saya sedang buat janji temu dengan beliau (Syed Saddiq), saya harap boleh berjumpa dengan beliau, dan memohon agar projek kolam renang di bawah kerajaan pusat ini diteruskan sebelum akhir tahun ini.

“Saya difahamkan kontraktor lama projek sudah ditamatkan, saya harap kontraktor baharu mestilah layak dan berkeupayaan melaksanakannya,” katanya semasa melawat Kompleks Sukan Tawau di sini, sempena siri jelajahnya ke 16 kompleks sukan di bawah seliaan Lembaga Sukan Negeri Sabah (LSNS).

Gambar Facebook Phoong Jin Zhe(冯晋哲)

Dalam pada itu, beliau berkata pada pertemuan dengan Syed Saddiq itu, isu kompleks sukan di Tenom akan turut dibangkitkan sebagai projek yang perlu diberi keutamaan.

“Kita dapati isu kolam renang KST dan Kompleks Sukan Tenom amat mendesak yang perlu kita segerakan untuk disiapkan kerana faktor kepentingan awam.

“Keseluruhan grand stand dan trek tidak boleh digunakan akibat banjir, ini projek kerajaan pusat bernilai RM8 juta,” katanya lagi.

Sementara itu, Phoon turut menasihatkan masyarakat agar bersama-sama menjaga kemudahan awam yang disediakan serta kebersihan terutama di kompleks sukan.

Katanya, beliau akan turut memohon peruntukan daripada kementerian di peringkat pusat untuk disalurkan kepada Lembaga Sukan Negeri Sabah bagi tujuan penyelenggaraan 16 kompleks sukan di negeri ini.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *