Polis Tuaran Tahan 12 Warga Tempatan Terlibat Kes Dadah

TUARAN, 24 Jun – Polis Tuaran menahan 12 orang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah menerusi operasi yang dijalankan selama tujuh hari sehingga semalam.

Ketua Polis Daerah Tuaran DSP Mohd Hamizi Halim berkata kesemua yang ditahan adalah warga tempatan yang berumur 25 hingga 45 tahun.

Katanya 11 orang ditahan selepas ujian air kencing menunjukkan keputusan positif menggunakan dadah, manakala seorang lagi kerana membekalkan dadah.

Tangkapan dilakukan menerusi operasi yang dijalankan di kawasan Taman Telipok Ria, Kampung Mengkabong, Kampung Berungis dan kawasan Tenghilan, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dadah jenis syabu seberat 5.20 gram yang dianggarkan bernilai RM780 turut dirampas semasa operasi dijalankan.

— BERNAMA

626