29 Perokok Tegar Dikompaun Di Sekitar Sandakan

Kakitangan Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan turut melakukan aktiviti pendidikan penguatkuasaan merokok di premis makanan.

SANDAKAN: Seramai 29 perokok tegar telah dikenakan tindakan kompaun keseluruhan RM7,250 oleh Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan di sini kerana didapati merokok di kawasan larangan merokok.

Pegawai Kesihatan Kawasan Sandakan, Dr. Haji Johari Awang Besar berkata daripada jumlah itu 10 perokok dikesan merokok di kawasan hospital selain kawasan kompleks membeli-belah (9 perokok), kawasan lapangan terbang (4 perokok) dan kawasan bangunan premis kerajaan (6 perokok).

Katanya, kesemua kesalahan berkenaan dikesan bagi tempoh tahun ini bermula 1 Januari hingga 22 Jun.

“Kesemua perokok itu tidak mengendahkan tanda amaran kawasan larangan merokok dan dikenakan kompaun di bawah 11(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

“Mereka dikesan melakukan kesalahan itu menerusi beberapa siri operasi banteras asap rokok di kawasan larangan sekitar Sandakan yang dijalankan 35 pegawai terdiri Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Pembantu Kesihatan Awam dari Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan.

“Mereka yang dikenakan tindakan dan menerima notis tawaran kompaun diminta hadir untuk menjelaskan kompaun di mana-mana Pejabat Kesihatan yang terdekat mengikut tempoh yang telah dinyatakan,” katanya dalam satu kenyataan di Sandakan. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *