Isu ‘Sampah Hanyut’ Terus Membelenggu Pantai Popular Di Kota Kinabalu

Longgokan ‘sampah hanyut’ yang berlaku di beberapa kawasan pantai cacatkan pemandangan. – Foto hiasan

KOTA KINABALU: Masalah longgokan ‘sampah hanyut’ yang berlaku di beberapa kawasan pantai yang menjadi tarikan pelancongan di sekitar bandar raya ini, termasuk Pantai Tanjung Lipat, seolah-olah tiada penghujungnya.

Tinjauan BH mendapati pencemaran sampah, khususnya sisa plastik, botol dan kayu semakin berleluasa di kawasan pantai popular itu, dengan keadaan bertambah buruk selepas hujan lebat atau air pasang, sekali gus mencacatkan pemandangan persekitarannya.

Walaupun kerja-kerja pembersihan dilakukan setiap hari oleh kontraktor penyelenggaraan dilantik Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), namun masalah sampah di pantai berkenaan terus berlaku dan bagaikan tiada penghujungnya.

Tinjauan juga mendapati dua lori sampah jenis `roro’ ditempatkan di Pantai Tanjung Lipat untuk mengumpulkan sampah sarap yang dikutip sebelum dibawa ke tapak pelupusan.

Dari sekecil-kecil puntung rokok sehingga bekas plastik, botol kaca dan serpihan kayu, pelbagai jenis sampah dapat dilihat setiap hari di kawasan berkenaan yang menjadi tumpuan warga bandar raya dan pelancong untuk beriadah.

Malah, seawal jam 7 pagi, seramai 12 pekerja kontraktor penyelenggaraan itu bersiap sedia melaksanakan tugasan rutin mereka, membawa guni dan penyapu masing-masing untuk membersihkan kawasan berkenaan sehingga jam 4 petang.

Pekerja, Nello Lasman, 47, ketika ditemui menyatakan rasa hairannya dari mana sampah sarap itu datang kerana hampir setiap hari pasti ada longgokan bahan buangan berkenaan mencemari kawasan pantai.

“Tidak habis-habis sampah di pantai ini. Hari ini kita bersihkan, esok pasti ada lagi sampah di sini. Kami pun tidak tahu dari mana sampah ini datang dan kebanyakannya adalah plastik.

“Ada ketikanya terpaksa korek sampah seperti plastik dari dalam pasir, terutama selepas air surut, ia adalah sampah lama yang `terkubur’ dalam pasir, ” katanya yang bekerja di situ sejak sembilan bulan lalu.

Bagi penyelia syarikat itu, Abdul Rahman Mohd, 41, berkata kebiasaannya lebih 100 guni sampah dikutip di kawasan pesisir Pantai Tanjung Lipat di Teluk Likas hingga ke kawasan muara sungai berhampiran Jambatan Likas.

“Bagaimanapun, jika dibandingkan keadaan dulu (lebih lima tahun lalu), keadaan sekarang lebih baik. Memang hari-hari ada sampah… tidak tahulah dari mana datang semua sampah ini. Ada yang kata ia dari pulau dan kampung berhampiran di muara sungai.

“Biasanya, keadaan lebih teruk selepas keadaan laut bergelora dan ombak kuat,” katanya.

Difahamkan, penempatan setinggan tepi sungai, termasuk di Likas dan Inanam antara punca kewujudan sampah berkenaan yang memerlukan perhatian segera pihak berkaitan bagi mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu berkenaan.

Pantai Tanjung Lipat antara lokasi tumpuan dalam kalangan pelancong asing di bandar raya ini, khusus bagi merakamkan gambar pemandangan matahari terbenam berlatarbelakang laut dan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah yang baharu. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *