Saya Tidak Akan Melangkaui Tiga Tahun Sebagai Perdana Menteri- Tun M

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. – Foto BERNAMA

Saya pegang jawatan tidak lebih tiga tahun

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa beliau akan meletak jawatan dalam masa tiga tahun sebelum menyerahkan tugas kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Persoalan mengenai tarikh beliau akan berundur dan siapa bakal penggantinya mula menjadi perhatian sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Walaupun sebelum ini pernah mengumumkan bahawa Anwar akan menggantikannya, timbul spekulasi bahawa beliau mahukan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Setakat saya tahu, saya sudah berjanji untuk berundur dan Anwar akan menggantikan saya,” katanya yang ditemu bual wartawan CNBC, Tanvir Gill di Bangkok, Thailand, ketika menghadiri Sidang Kemuncak Asean.

Beliau yang sebelum itu berkata, negara memerlukan sekurang-kurangnya tiga tahun untuk menyelesaikan hutang negara bagaimanapun tidak berhasrat untuk meneruskan perkhidmatan sebelum sasaran berkenaan tercapai.

“Tidak, saya tidak akan melangkaui tempoh tiga tahun berkenaan,” katanya yang menegaskan bahawa keutamaannya untuk memastikan Malaysia mampu menyelesaikan masalah (hutang) walaupun selepas bersara.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, beliau bersetuju mengikat perjanjian perdagangan mega Asia Pasifik, biarpun tanpa penyertaan India buat masa sekarang.

Beliau merujuk kepada Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang membabitkan 16 negara dalam Asia Pasifik. Rundingan berlangsung sejak 2013 dengan isu utama keengganan India untuk membuka peluang pasarannya.

Laporan terkini oleh Nikkei Asian Review berkata bahawa China yang kecewa dengan perkembangan perlahan rundingan RCEP mencadangkan untuk meneruskan perkongsian berkenaan dengan hanya 13 negara tanpa India, Australia dan New Zealand dalam perjanjian berkenaan.

Sebanyak 16 negara terbabit dalam RCEP ialah 10 negara Asia Tenggara dan enam rakan kongsi perdagangan utama iaitu China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia dan New Zealand.

Perjanjian berkenaan jika dicapai akan membentuk satu blok perdagangan besar 16 negara yang meliputi hampir satu pertiga daripada keluaran dalam negara kasar dunia. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *