Pelekat `Serve No Pork’ Tidak Boleh Digunakan Sesuka Hati

Presiden Persatuan Barisan Pengguna Sabah (CFOS), Nordin Thani

Perlu peraturan khusus penggunaan pelekat `Serve No Pork’

KOTA KINABALU: Pelekat `Serve No Pork’ tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh pemilik atau pengusaha premis makanan kerana tindakan sedemikian boleh mencetuskan kekeliruan, khususnya dalam kalangan pelanggan Islam.

Justeru, Persatuan Barisan Pengguna Sabah (CFOS) menggesa pihak berkuasa melaksanakan larangan penggunaan pelekat itu atau menguatkuasakan peraturan khusus sebagai langkah penyelesaian isu berkenaan.

Presiden CFOS, Nordin Thani, berkata semua premis makanan sama ada milik peniaga Islam mahupun bukan Islam perlu dilarang menampal pelekat itu yang boleh mengelirukan, terutama membabitkan status halal makanan atau minuman disediakan.

Katanya, perkara itu tidak boleh dibiarkan berleluasa kerana berkemungkinan berlaku salah faham, terutama dalam kalangan mereka yang kurang pengetahuan agama, termasuk menganggapnya bermaksud halal.

“Lebih baik semua premis dilarang menampal notis atau pelekat seumpamanya. Biarpun ia tidak salah, namun kita merasakan perlu untuk pihak berkuasa mewujudkan peraturan baharu berhubung isu berkenaan.

“Kita memahami inisiatif pengusaha premis makanan menampal pelekat itu, namun atas dasar melindungi pengguna Islam, kita berpendirian lebih baik jangan tampal apa-apa pelekat yang boleh menimbulkan kekeliruan,” katanya kepada BH.

Nordin berkata, walaupun pemilik premis memberi jaminan tiada makanan haram, khususnya babi dihidangkan di restoran mereka kerana menggunakan sepenuhnya makanan laut, namun ia bukan jaminan halal kepada pengguna Islam.

“Kita juga tidak tahu bahan digunakan dalam masakan benar-benar halal kerana pihak berkuasa agama juga tidak menjalankan pemeriksaan. Di kebanyakan premis ini juga, ada dijual arak.

“Ia berbeza jika mereka memiliki sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Walaupun restoran milik bukan Islam tetapi dengan adanya sijil itu, bermakna dapur dan bahan masakan digunakan sudah diperiksa dan menepati piawaian ditetapkan JAKIM,” katanya.

Katanya, banyak aduan diterima berhubung isu berkenaan, namun tiada tindakan boleh diambil kerana penggunaan sebarang pelekat atau notis makluman seumpama itu tidak menjadi kesalahan.

“Ini berbeza dengan penggunaan ayat al-Quran. Ada premis makanan yang diusahakan bukan Islam menggantungnya di restoran dan tindakan menanggalkannya boleh terus diambil oleh pihak berkuasa.

“Namun, yang penting sebenarnya ialah kesedaran pengguna Islam itu sendiri untuk memahami konsep sebenar halal haram dalam agama yang bukan hanya terhad kepada soal haiwan haram iaitu babi tetapi merangkumi banyak elemen lain, termasuk kebersihan,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *