Sediakan Jalan Raya Untuk Memudahkan Penduduk Kampung Keluar Hasil Tanaman – Jenifer Lasimbang

PENAMPANG: Kerajaan perlu menyediakan kemudahan infrastruktur terlebih dulu terutama jalan raya bagi memudahkan penduduk mengeluarkan hasil tanaman mereka untuk dijual.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog, Jenifer Lasimbang, berkata fasa pembangunan di beberapa kampung di daerah itu sedang dalam pelaksanaan bagi memudahkan penduduk mengeluarkan dan seterusnya menjual hasil tanaman mereka di bandar.

“Sebenarnya, ada beberapa kampung lagi di dalam (Penampang) tetapi kita mesti pastikan jalan raya dalam keadaan baik. Sebab kalau kita galakkan penduduk bercucuk tanam dan jalan raya pula teruk, penduduk tidak juga dapat keluarkan hasil dari kampung.

“Contohnya seperti yang berlaku di Long Pasia, ada banyak tanaman lada di sana tetapi apabila keluar ke Sipitang, harga jatuh dan penduduk tidak dapat hasil yang setimpal,” katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.

Sehubungan itu, kata Jenifer, pihaknya sedang mengusahakan cara bagaimana penduduk dapat keluarkan hasil mereka dengan lebih baik supaya pulangan yang mereka terima lebih berbaloi.

“Kita cari idea di mana hasil tanaman mereka dapat dikeluarkan dan harga untuk penduduk lebih bagus, sekali gus berlaku adil kepada mereka yang bersusah payah bercucuk tanam.

“Kini, fasa pembangunan jalan raya dari Sugud ke Terian akan dinaik taraf dan menteri Persekutuan sudah masuk ke Terian bagi melihat sendiri keadaan jalannya yang bukan saja tidak berturap, malah masih jalan lumpur,” katanya. – Berita Harian

1115