Peruntukan RM6 Juta Baik Pulih Kompleks Sukan Tambunan Dan Keningau

KENINGAU– Kerajaan Negeri Sabah memperuntukkan sebanyak RM6 juta bagi menjalankan kerja-kerja membaik pulih beberapa kerosakan infrastruktur di Kompleks Sukan Tambunan dan Keningau.

Menteri Belia dan Sukan Sabah Phoong Jin Zhe berkata kerja-kerja menaik taraf kompleks sukan di dua daerah berkenaan adalah sebagai persediaan penganjuran Sukan Sabah 2019 yang dijangka berlangsung  Disember ini dan Keningau adalah tuan rumah bagi temasya sukan itu pada tahun ini.

Kompleks Sukan Keningau

Beliau berkata kerja-kerja membaik pulih itu akan memberi penekanan kepada penambahbaikkan trek sintetik memandangkan kemudahan sukan berkenaan mengalami kerosakan teruk.

“Selepas melakukan tinjauan di kedua-dua stadium itu, saya mendapati kedua-duanya mengalami masalah kerosakan sama iaitu trek sintetik rosak dan sudah agak lama. Kerja penambahbaikkan harus  dilaksanakan pada tahun ini,” katanya ketika ditemui pemberita semasa lawatan kerjanya di sini, hari ini.

Kompleks Sukan Keningau

Phoong berkata kementeriannya akan berusaha mendapatkan lebih banyak peruntukan bagi menaik taraf prasarana sukan di semua kompleks sukan di Sabah untuk kemudahan rakyat khususnya dalam kalangan  belia,  dan beliau akan bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk memastikan semua kemudahan berkenaan dinaik taraf secara berperingkat.

Beliau berkata kementeriannya optimis mengembalikan semula kegemilangan Sabah dalam arena sukan dengan memastikan infrastruktur sukan mencukupi dan persiapan atlet yang optimum memandangkan  ia adalah antara resepi penting bagi merealisasikan iltizam itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Phoong berkata, kementeriannya akan mempertimbangkan cadangan untuk mengkomersilkan kemudahan disediakan di setiap kompleks sukan di Sabah termasuk kadar bayaran dikenakan kepada orang awam yang menyewa dewan bagi menganjurkan majlis.

Namun, cadangan itu memerlukan kajian terperinci memandangkan kadar sewa rendah ditetapkan pada masa sekarang lebih bertujuan membantu rakyat dan bukannya untuk mengaut keuntungan, katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *