90 Sekolah Di Sabah Diisytihar Tidak Selamat

Kota Kinabalu: Sebanyak 90 dari 587 sekolah daif di negeri ini diisytihar tidak selamat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob berkata, setakat ini peruntukan yang diterima akan disalurkan untuk membaiki 15 buah sekolah yang sangat kritikal.

Pihaknya turut berunding dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar peruntukan segera disediakan untuk membaiki sekolah-sekolah berkenaan.

“Kita khuatir jika berlaku sebarang kejadian yang akan membahayakan guru dan murid di sekolah daif ini.

“Peruntukan yang diterima kita utamakan 15 sekolah yang sangat kritikal dan tiada masalah dari segi tapak serta kelulusan.

“Bagi 75 sekolah daif yang lain, kita cuba sedaya upaya untuk selesaikan dengan segera isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Anugerah Cemerlang dan Sambutan Hari Guru, Hari Raya dan Hari Kaamatan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Kinabalu, di sini pada Khamis.

Yusof berkata, pihaknya turut meminta JKR membuat audit bagi sekolah-sekolah daif dan audit berkenaan sentiasa dalam proses.

Menurutnya, setiap bulan akan ada pertambahan jumlah bagi sekolah daif melibatkan beberapa kategori.

“Kita ada lebih 500 sekolah daif dan ia memerlukan peruntukan sekitar RM3 bilion.

“Kita berharap dalam tempoh terdekat dengan apa cara dapat menyelesaikan masalah ini kerana kita tidak boleh tunggu sehingga sekolah runtuh baru mahu mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Selain itu, jelasnya, isu sekolah daif adalah isu lama dan beliau tidak mahu menyalahkan pengurusan terdahulu memandangkan ia tanggungjawab kerajaan sekarang.

Sehubungan itu, beliau berharap pegawai-pegawai di kementerian dan Jabatan Pendidikan Negeri faham mengenai perkara itu.

“Kita tidak berdiam diri dan ambil tindakan untuk selesaikan masalah. Kita minta rakyat juga faham perkara ini,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *