Penduduk Kampung Puhus Di Kota Belud Mahu Telaga Tiub Bertapis, Air Bersih

Keadaan kawasan tadahan air graviti di Kampung Puhus. – Foto ihsan MPKK Kampung Puhus

Kota Belud: Hampir 300 penduduk di Kampung Puhus, kira-kira 23 kilometer (km) dari pekan ini, berharap mendapat bantuan sebuah telaga tiub bertapis untuk kegunaan penduduk di kampung berkenaan.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Puhus, Saitem Gada, berkata ini kerana air graviti daripada satu kawasan tadahan air di situ, tidak mencukupi terutama selepas gempa bumi pada 2015.

“Jika sebelum ini, walau tiada hujan lebih sebulan, kawasan tadahan air itu mampu menampung jumlah air yang banyak, tetapi sejak akhir-akhir ini terutama selepas gempa bumi, air kawasan tadahan itu semakin berkurangan.

“Walaupun hanya dua atau tiga hari tidak hujan, air di kawasan tadahan itu cepat kering sekali gus tidak mampu menampung keperluan kira-kira 278 penduduk di situ.

“Oleh itu, saya sudah bertemu dengan pihak majlis daerah dan mengemukakan cadangan kepada mereka untuk membina sebuah telaga tiub bertapis di kawasan kampung kami bagi menambah lagi sumber air khususnya bekalan air yang terawat kepada penduduk,” katanya ketika dihubungi di sini.

Kampung Puhus, yang berada di kawasan berbukit selain jalan tidak berturap adalah antara kampung yang bergantung sepenuhnya kepada air graviti, antara yang terjejas ketika musim panas dan kering sejak awal tahun ini hingga Mei lalu.

Penduduk kampung itu yang kebanyakannya petani selain ada bekerja dalam sektor kerajaan dan swasta, menggunakan air graviti sejak lebih 50 tahun lalu.

Mengulas lanjut, beliau berkata keadaan air graviti daripada kawasan tadahan itu juga akan keruh terutama selepas hujan.

“Bagaimanapun, Jabatan Kesihatan daerah biasanya akan mengadakan pemeriksaan ke atas kawasan tadahan air untuk memastikan ia selamat diguna,” katanya sambil menambah air yang keruh itu juga diguna untuk mandi dan masak.

Sehubungan itu, Saitem berkata adalah menjadi harapan penduduk agar permintaan untuk mendapat sebuah telaga tiub bertapis dapat dilakukan.

“Kami sudah kemukakan permohonan kepada majlis daerah (Kota Belud) dan berharap cadangan kami dapat diberi pertimbangan sewajarnya. Kami juga berharap akan mendapat bekalan air terawat pada masa akan datang.

“Sebagai MPKK, saya juga akan kemukakan permohonan ini kepada wakil rakyat di kawasan ini,” katanya sambil menambah Kampung Puhus terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *