Ops Bersepadu Tahan 11 Pendatang Tanpa Izin Di Labuan

Sebahagian pendatang tanpa izin yang ditahan dalam Ops Bersepadu yang dijalankan di Pekan Jati, Labuan

Labuan: Seramai 11 pendatang tanpa izin (PTI) ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan seorang daripada mereka positif dadah jenis syabu dalam Ops Bersepadu yang dijalakan bermula jam 3 hingga 6 pagi di Pekan Jadi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata hasil serbuan di kawasan rumah kedai Pekan Jati, pasukan serbuan telah berjaya membuat pemeriksaan ke atas 74 individu.

Sebahagian pendatang tanpa izin yang ditahan dalam Ops Bersepadu yang dijalankan di Pekan Jati, Labuan

Selepas saringan dilakukan di lokasi serbuan yang dilakukan oleh pihak Imigresen, didapati 11 PTI tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Pasukan operasi IPD Labuan bersama-sama pihak Jabatan Imigresen Labuan telah menjalankan operasi pemeriksaan di kawasan bangunan rumah kedai Pekan Jati, dengan tujuan menangkap pendatang tanpa izin,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, seramai sembilan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 32 anggota pangkat rendah terlibat dalam operasi itu.

Katanya, PDRM mendapat kerjasama daripada tiga pegawai dan 20 anggota lain-lain pangkat Jabatan Imigresen Labuan.

Muhamad Farid berkata operasi itu dijalankan untuk mencegah dan menangani kadar jenayah dengan mengesan serta menangkap penjenayah yang dikehendaki, ahli militan, pengedar dan penagih dadah selain pendatang asing yang tidak mempunyai dokumen sah di pulau Labuan.

Jelasnya, operasi dijalankan di sekitar kawasan rumah kedai Pekan Jati memakan masa selama tiga jam dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Secara keseluruhannya, operasi ini telah dijalankan mengikut perancangan yang telah ditetapkan,” katanya.

396