Culik: Belum Ada Panggilan Untuk Wang Tebusan – Omar Mammah

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah. – NSTP/Malai Rosmah Tuah

Kota Kinabalu: Polis mengesahkan belum menerima sebarang panggilan daripada pihak penculik untuk meminta wang tebusan berkenaan mangsa culik awal pagi kelmarin di Felda Sahabat 9.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata motif sebenar pihak penculik belum dapat dipastikan setakat ini.

“Masih tiada panggilan telefon diterima dari mana-mana pihak sama ada pihak penculik atau sebaliknya.

“Kesemua nelayan terbabit dipercayai melakukan pelayaran di perairan tanpa kebenaran atau permit daripada pihak berkuasa semasa Perintah Berkurung dilaksanakan di sana,” katanya.

Dalam pada itu Omar mengesahkan mangsa yang diculik kumpulan dipercayai Abu Sayyaf itu adalah Bajau Laut atau Gipsi Laut yang sudah lama berada di negeri ini.

“Mereka sudah tinggal di sini sejak berabad lamanya dan mempunyai dokumen khas Lepa-Lepa yang dikeluarkan oleh ketua kampung bagi mengesahkan mereka dari perkampungan tertentu.

“Kesemua nelayan berumur 17 hingga 60 tahun dilarikan di perairan Felda Sahabat Lahad Datu kira-kira jam 2.45 pagi,” katanya.

Dalam pada itu Omar berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan tentang kesahihan maklumat berkenaan surat Lepa-Lepa yang dimiliki nelayan ini berikutan ianya hanya dikeluarkan pada 70-an.

“Jika mereka (nelayan) mempunyai dokumen ini, kita perlu tahu dari mana mereka memperolehinya,” katanya.

Semasa berada di perairan sempadan negara nelayan yang menaiki dua bot didatangi kumpulan penculik dipercayai Abu Sayyaf dari arah belakang sebelum menculik empat nelayan dari bot pertama.

Enam lagi nelayan lain diculik dari bot kedua sebelum kumpulan penculik bergerak menuju ke Pulau Sitangkai.

Beberapa nelayan yang diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mendakwa mereka sedang dalam perjalanan memperbaharui permit sebelum kejadian berlaku.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *