Kolej Vokasional Keningau Raih Pingat Emas Di Jepun

Gambar Kolej Vokasional Keningau

Kota Kinabalu: Pasukan Kolej Vokasional Keningau (KVK) meraih pingat emas pada Pertandingan Inovasi, Ekspo Reka Bentuk, Idea dan Reka Cipta Jepun di Tokyo Jepun, semalam.

Pertandingan berlangsung selama tiga hari sejak Sabtu lepas, dengan pasukan KVK terdiri tiga guru iaitu Anita Md. Yasin, Siti Lailah Jabin, Rowdella Raymond Raimi dan dua pelajar, Syaza Syazwana Mohd Khastalan dan Grace Eliza Quintin.

Gambar Kolej Vokasional Keningau

Ketua Unit Kajian dan Inovasi KVK Sirhajwan Idek berkata inovasi pasukan itu dinamakan ‘ShapeSweetie’ merupakan alat yang digunakan untuk membiasakan individu yang baru sahaja belajar menghias kek untuk menguasai kemahiran asas bagi teknik tersebut.

Gambar Kolej Vokasional Keningau

Katanya inovasi itu dicipta oleh program bakeri KVK bagi membantu masalah yang sering dialami dalam kelas membuat kek, di mana kebanyakan pelajar mahupun orang awam yang mengambil kelas asas mengalami kesukaran dalam menguasai kemahiran menghias kek.

“Kesukaran ini membuatkan mereka berasa malu, tidak yakin malah berkemungkinan putus asa untuk mempelajari teknik seterusnya.

“Maka, para pensyarah dan guru program berkenaan, mencipta alat ini bagi membantu menyelesaikan masalah ini,” katanya kepada Bernama.

Sirhajwan berkata inovasi ini pernah dipertandingkan oleh Anita yang merupakan ketua pasukan itu di Bali Indonesia pada tahun lepas, dan berjaya memenangi pingat gangsa.

Menurutnya pasukan ini menambah baik inovasi tersebut dan mempertandingkannya sekali lagi pada tahun ini, pada pertandingan di Jepun.

Beliau berkata penghasilan inovasi itu sejajar dengan saranan Pengarah KVK Johari Sabin yang sentiasa menggalakkan pensyarah dan pelajar kolej tersebut untuk menceburi bidang inovasi dan kajian, bagi meningkatkan kemahiran, kreativiti dan daya saing mereka dalam era industri 4.0 ini.  

Sirhajwan berkata dengan kejayaan terbaru ini, pasukan KVK telah berjaya memenangi 12 pingat inovasi termasuk tujuh pingat emas dan lima anugerah kajian di Jepun, Korea Selatan, Itali, Indonesia, Thailand, Brunei dan Singapura.

Beliau berkata kolej tersebut menekankan kepentingan budaya inovasi dan kajian, untuk dijadikan sebagai budaya institusi yang diamalkan oleh semua pihak terdiri dari guru, pelajar dan staf sokongan. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *