200 Bekas Ahli UMNO Tawau Sertai BERSATU

GAMBAR BESTAWAUfm

TAWAU – Kira-kira 200 bekas ahli UMNO menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tawau hari ini.

Ketua Penaja BERSATU Bahagian Tawau, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, penyertaan ini amat memberangsangkan selain menunjukkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Perdana Menteri serta Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, ia juga dapat dilihat apabila kira-kira lebih 5-ribu individu menghantar permohonan menyertai BERSATU Bahagian Tawau sejak parti itu melakar sejarah secara rasmi bertapak sekali gus melebarkan sayap ke negeri ini, April lepas.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Pelancaran BERSATU Sub di Jalan Damai.

Dalam pada itu, Datuk Nizam yang juga Anggota Dewan undangan Negeri (ADUN) Apas yakin bahawa tindakan menyertai BERSATU merupakan pilihan tepat dan antara platform terbaik dalam mengukuhkan lagi Pakatan Harapan dalam memperjuangkan hak-hak rakyat di negara ini.

Sementara itu, ketua Penaja BERSATU Sub Jalan Damai, Dika Marzuki berkata, beliau dan 200 bekas ahli UMNO menyertai BERSATU kerana percaya pucuk pimpinan Tun Mahathir dan wakil rakyat khususnya di Apas, Datuk Nizam dapat memajukan rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan agama dan bangsa.

Justeru, beliau berharap agar sebarang pembangunan dan kemajuan di daerah ini khususnya di Jalan Damai sentiasa mendapat perhatian demi keselesaan rakyat.

Turut hadir dalam Majlis Pelancaran BERSATU Sub Jalan Damai itu, Timbalan Ketua Penaja Bersatu Bahagian Tawau, Naim Ahmat, Naib Ketuanya, Mahamud Sakti, Ketua Penaja Srikandi BERSATU, Datuk Rosdianah Md Nor dan Ketua Penaja Armada Bersatu Tawau, Khazarudin Kahar.

Sumber: BESTAWAUfm

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *