Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan dipanggil dalam masa terdekat bagi memberi keterangan berhubung isu video lucah dengan seorang lelaki dikenali sebagai Haziq Aziz.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, polis akan memanggil semua pihak yang terbabit bagi memberi keterangan termasuk yang menuduh dan dituduh (Azmin) bagi membantu siasatan.
Menurutnya, buat masa ini pihaknya belum mempunyai petunjuk siapa benar dan siapa salah.
“Kita juga akan menyiasat mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada sama seperti kes jenayah lain sebaik kertas siasatan dibuka.
“Gambar dan video itu juga akan disiasat sama ada tulen atau tidak dan saya tidak akan terus membuat sebarang kesimpulan selagi siasatan masih berjalan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di Kangar hari ini.
Abdul Hamid berkata, beliau juga tidak memberi tekanan kepada pegawainya untuk menjalankan siasatan namun lagi cepat diambil tindakan lagi cepat ia terungkap.
“Kita juga akan menyiasat sama ada yang menuduh (Haziq) bercakap benar, dipaksa atau ada konspirasi atau tidak.
“Sebaik kertas siasatan lengkap kita akan menyerahkan kepada peguam negara untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Beliau berkata, Haziq yang ditahan semalam akan dibebaskan dengan jaminan polis hari ini malah pihaknya juga tidak pasti sama ada dia ingin melarikan diri atau tidak ketika itu.
“Walaupun dibebaskan, dia tetap boleh dipanggil semula jika pihak polis ingin mendapatkan keterangan lain bagi membantu siasatan.
“Dia bebas ke mana-mana namun dilarang ke luar negara selagi masih dalam siasatan,” katanya.
Terdahulu, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail turut berkenan mencemar duli merasmikan bangunan baharu IPK Perlis.
Turut mencemar duli, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil. – Harian Metro