Rakyat Puas Hati Harga Makanan Murah Pada Musim Perayaan Tahun Ini

Johor Bahru : Harga bekalan makanan, terutama sayur-sayuran dan ternakan seperti ayam yang terkawal dan munasabah pada musim perayaan kali ini menyebabkan rakyat puas hati dan selesa.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, berkata harga bekalan makanan yang terkawal itu disumbangkan faktor bekalan yang mencukupi di samping pintu sempadan negara yang dikawal ketat bagi mengelak penyeludupan keluar bekalan makanan.

Katanya, bekalan makanan dalam negara yang mencukupi membolehkan harganya stabil, sekali gus dapat dinikmati pada harga berpatutan.

Katanya, beliau akan berbincang dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi memperkemaskan kaedah pengawalan harga makanan.

“Saya dan Saifuddin membuat lawatan ke seluruh negara memeriksa ke semua premis perniagaan dari pasar raya besar, pasar raya sehinggalah ke kedai runcit kecil di pedalaman.

“Kita dapati harga barangan makanan memang terkawal dan rakyat puas hati dan selesa dengan harga barang keperluan yang ditetapkan berbanding musim perayaan tahun lalu.

“Contohnya kubis bulat sederhana RM2 sebiji, yang besar pula RM3. Harga ayam di pasar raya besar antara RM5.90 hingga 6.50 sekilogram manakala di kedai runcit pula ikut harga siling yang ditetapkan.

“Harga ikan kembung/selar dijual pada harga RM10 hingga 12 dan tiada dijual sampai RM21 tahun ini seperti tahun lalu manakala kacang panjang pula pada harga RM6 hingga RM8 sekilogram iaitu harga yang munasabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di majlis rumah terbuka Parlimen Pulai di Dewan Raya Kempas Baru, di sini, hari ini.

Sementara itu, Salahuddin berkata, harga bekalan makanan yang terkawal pada musim perayaan kali ini juga disumbangkan FAMA yang membuka pasar segar di lokasi lebih banyak, dua minggu lebih awal.

Dalam hal berasingan, beliau yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, syarikat yang berjaya mengeksport durian Musang King ke China akan diumumkan pada pelancaran kejayaan berkenaan di Putrajaya, Isnin ini.

“Isnin ini akan diadakan pelancaran kejayaan untuk mengeksport durian Musang King ke China selepas General Administration of Customs of People’s Republic of China (GACC) melakukan lawatan dan pemeriksaan di tujuh syarikat terpilih, awal Mei lalu.

“Sebelum ini 14 syarikat disenaraikan dan tujuh syarikat ini memenuhi piawaian ketat GACC. Namun syarikat lain yang tidak berjaya pada fasa pertama ini jangan bimbang, kerana jika segala dokumen serta piawaian dipatuhi, mereka juga berpeluang mengeksport durian ke China,” katanya.

Salahuddin juga memberi jaminan pengeksportan durian Musang King ke China tidak akan menjejaskan pasaran tempatan.

“Kementerian akan pastikan wujud kuota untuk dieksport selain untuk keperluan tempatan termasuk industri hiliran,” katanya. – Berita Harian

42