Tingkat Kesiapsiagaan Berdepan Ancaman Kumpulan Abu Sayyaf – Ketua Menteri Sabah

KM: TINGKAT KESIAPSIAGAAN BERDEPAN ANCAMAN KUMPULAN ABU SAYYAF

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan sentiasa meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan dari segi kawalan keselamatan dalam berdepan ancaman dari luar termasuk ancaman Kumpulan Abu Sayyaf yang dikatakan masih tinggi terhadap Pantai Timur Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, ancaman Abu Sayyaf terhadap Sabah bukan perkara asing.

“Apa yang penting kita tingkatkan keupayaan kita untuk menangani masalah ancaman luar ini kerana Sabah merupakan negeri yang menerima kemasukan pelancong yang ramai.

“Selaku Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri (MKN), saya akan memanggil pasukan keselamatan bagi meningkatkan kesiapsiagaan agar Sabah sentiada selamat untuk dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara.

“Saya tidak mahu tanggapan luar menyatakan kawasan kita tidak selamat. Kita sedar ada insiden penculikan yang berlaku.

Kunjungan hormat Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Mohammad Mentek, kiri, bersama Ketua Menteri di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sabah (PPNS) pada Khamis.

“Kita akan memberi kerjasama terhadap Ketua Polis Negara untuk melihat bagaimana isu keselamatan ini dapat ditangani,” katanya ketika ditanya mengenai kenyataan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador bahawa Sabah masih berdepan ancaman dari Kumpulan Abu Sayyaf.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima Kunjungan Hormat Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan Datuk Seri Mohammad Mentek, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, di sini pada Khamis.

Ketua Polis Negara berkata serangan kumpulan yang berpangkalan di Jolo,Sulu itu boleh berlaku setiap hari dan pada bila-bila masa biarpun Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esscom) diwujudkan.

Oleh itu, Esscom perlukan penyusunan dan penstrukturan semula dari segi penempatan pasukan keselamatan yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia, Polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Mohd Shafie juga mengingatkan bahawa pengawalan keselamatan bukan terletak kepada pasukan keselamatan semata-mata. Jika rakyat dapat membantu memaklumkan tentang kewujudan anasir-anasir jahat maka, keselamatan negeri ini akan dapat ditangani dengan baik. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *