Kerajaan Sabah Pastikan Perairan Negeri Ini Selamat Dan Terkawal

Sabah pastikan kesiapsiagaan pasukan keselamatan tingkat kawalan perairan

KOTA KINABALU, 13 Jun – Kerajaan Sabah akan memastikan pasukan keselamatan terus mempertingkatkan lagi kesiapsiagaan dalam memastikan perairan negeri ini berada dalam keadaan terkawal, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mohd Shafie yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Sabah berkata langkah itu penting bagi terus memelihara keselamatan rakyat Sabah selain memastikan negeri ini bebas daripada sebarang ancaman tidak diingini seperti jenayah rentas sempadan khususnya penculikan.

“Isu seumpama ini (jenayah rentas sempadan) bukan perkara baharu (berlaku di Sabah). Bagaimanapun, apa yang penting ialah kita meningkatkan keupayaan dalam menangani masalah ini, apatah lagi Sabah adalah negeri yang sering dikunjungi ramai pelancong.

“Kita akan beri keyakinan (kepada pelancong tentang keselamatan di Sabah), dan saya akan memanggil (mesyuarat) bahagian keselamatan negeri untuk memastikan Sabah adalah kawasan selamat untuk dikunjungi bukan hanya pelancong tempatan bahkan juga luar negara.

“Kita tidak mahu ada tanggapan daripada luar (bahawa) kawasan ini (Sabah) tidak selamat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador mengenai ancaman Kumpulan Abu Sayyaf dipercayai berpangkalan di Jolo, Sulu terhadap kepulauan di timur Sabah masih tinggi meskipun Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) diwujudkan.

Pada Selasa, Abdul Hamid dalam laporan eksklusif bersama Bernama berkata serangan kumpulan itu boleh berlaku pada setiap hari dan pada bila-bila masa sahaja.

Oleh yang demikian, ESSCom akan membuat penyusunan dan penstrukturan semula daripada segi penempatan pasukan keselamatan negara melibatkan Angkatan Tentera Malaysia, polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Mohd Shafie berkata kerajaan Sabah akan memberi kerjasama baik dengan Ketua Polis Negara untuk memastikan kawalan keselamatan di negeri ini dapat dipertingkatkan sekali gus jenayah rentas sempadan dapat ditangani.

“Apa yang penting kita meningkatkan kesiapsiagaan (pasukan keselamatan). Masyarakat juga perlu memberi kerjasama kerana kawalan keselamatan ini tidak hanya bergantung kepada pasukan keselamatan tetapi rakyat perlu membantu dengan memberi maklumat sekiranya ada anasir jahat supaya ia dapat ditangani dengan cepat,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *