Sindiket Judi Haram Di Sabah Ubah Taktik, Mula Masuk Kawasan Kampung

Judi haram masuk kampung

TAWAU: Sindiket perjudian haram di Sabah dikesan mengubah taktik dan modus operandi dengan menyasarkan kawasan luar bandar, termasuk kampung bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata berdasarkan maklumat dan risikan pihaknya, ahli sindiket perjudian haram menggunakan motosikal selain sanggup berjalan kaki masuk ke kawasan kampung bagi mempromosikan kegiatan mereka.

Katanya, sebelum ini sindiket perjudian beroperasi dengan berselindung di sebalik premis seperti pusat hiburan keluarga dan kafe siber namun kerap diserbu menyebabkan sindiket berkenaan mengubah taktik.

“Justeru, saya menggesa semua ketua polis daerah meningkatkan operasi bagi membanteras kegiatan dan aktiviti perjudian haram di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Tawau dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Tawau, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Pemangku Asisten Komisioner Peter Umbuas dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Tawau yang baharu.

Dalam pada itu, beliau juga memberi peringatan tegas kepada semua pegawai dan anggota polis supaya tidak terbabit atau melindungi mana-mana individu dan sindiket berkaitan penyalahgunaan serta pengedaran dadah di negeri ini.

“Berdasarkan maklumat yang kita terima, ada operasi yang kita jalankan tidak berjaya kerana ada segelintir pegawai dan anggota yang tidak memberikan kerjasama sepenuhnya.

“Dalam hal ini kita tidak akan bertolak ansur dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mereka yang terbabit kerana ia menjejaskan imej polis,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *