Mayat Adik Mohd Putra Daniel Yang Dilaporkan Hilang Di Sungai Tebobon Ditemui Ketika Azan Berkumandang

Samsul gagal menahan sebak selepas mayat 3, ditemui di sungai berhampiran Kampung Gudon, Manggatal. (Gambar kecil) Mohd Putra Daniel. FOTO Edmund Samunting

Datuk temui mayat cucu

Kota Kinabalu : “Kami bersyukur dia ditemui walaupun sudah meninggal dunia. Kami reda dengan kehilangan ini,” kata Othman Lijun, 70, datuk kepada kanak-kanak lelaki yang lemas di sungai berhampiran Kampung Gudon, Manggatal, hari ini.

Mohd Putra Daniel Samsul, 3, ditemui oleh Othman pada jam 12.19 tengah hari tadi, selepas dilaporkan hilang tiga hari lalu kerana dikhuatiri lemas di sungai berhampiran rumahnya di Kampung Tebobon, Inanam.

Opaerasi SAR yang dijalankan kelmarin

Othman berkata, sejak cucunya hilang pada petang Sabtu lalu, mereka sekeluarga mencarinya di semua tempat termasuk di sepanjang sungai berkenaan.

“Kami berterusan mencarinya sehingga tidak tidur sejak kehilangannya. Ada banyak tempat kami cari termasuk di sebalik pokok dan menyusuri sepanjang sungai di kawasan rumah sehingga ke sungai ini.

Mayat kanak-kanak berusia tiga tahun itu ditemui diantara timbunan tumbuhan dan kayu hari ini.

“Jam 11.30 pagi tadi, kami turun semula ke sungai dan abang mangsa ternampak objek seperti mayat sebelum saya mendapati ia adalah jasad cucu saya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, penemuan mayat itu dianggap sebagai ‘rezeki’ bagi mereka kerana ahli keluarga sendiri yang menemui mangsa.

“Mungkin Allah mahu dia (mangsa) ditemui oleh datuk dan abangnya sendiri.

Anggota Sar mengeluarkan mayat mangsa dari timbunan tumbuhan dan kayu untuk dibawa ke tebing sungai

“Mayat cucu saya ditemui ketika azan Zohor sedang berkumandang dan kami bersyukur akhirnya doa kami diperkenankan,” katanya.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu cucunya pada hari kedua Syawal dan dilihat dalam keadaan tidak ceria seperti selalu.

“Dia tidak ikut rakannya bermain di luar sebelum hari kejadian dan saya sendiri pun tertanya-tanya kenapa dia tidak seceria seperti selalu,” katanya.

Mangsa berjaya dinaikkan ke darat oleh pasukan bomba selepas ditemui.

Sementara itu, bapa kanak-kanak itu, Samsul Othman, 31, dia reda dengan kehilangan anaknya walaupun dalam apa juga keadaan dia ditemui.

“Naluri saya kuat merasakan bahawa dia terjatuh di sungai di hadapan rumah dan saya reda dengan kehilangannya,” katanya.

Anak keempat daripada lima beradik itu disedari hilang oleh ahli keluarganya kira-kira jam 6 petang Sabtu lalu selepas tidak dilihat berada di rumah.

Sementara itu, Penyelia Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Lintas, Laupen Nuar berkata, operasi hari ini dimulakan pada jam 8 pagi dengan kekuatan seramai 13 anggota yang dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Sembulan serta pasukan Unit Anjing Pengesan K9.

“Mangsa ditemui ahli keluarganya tersangkut di jambatan kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.

“Operasi ditamatkan sejurus mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *