
KUNAK, 10 Jun-Polis menahan dua Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) bersama 100.55 gram dadah jenis Syabu bernilai RM15,082.50 berhampiran Ladang Tingkayu di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kunak, Supt Baharin Md Tahir berkata tangkapan dua lelaki warga Filipina berusia 19 dan 25 tahun itu dibuat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak pada 4.30 petang.

“Sepasukan anggota menahan sebuah motosikal dinaiki kedua-dua suspek berkenaan dan selepas polis memperkenalkan diri suspek cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan setelah berlaku pergelutan.

“Pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek berusia 25 tahun itu menemukan dua paket dadah jenis Syabu (anggaran berat 100.55gram) di dalam beg silang dipakai suspek, manakala polis tidak menemukan barang salah pada seorang lagi suspek yang membonceng motosikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baharin berkata kedua-dua suspek dipercayai dari Lahad Datu menuju ke Ladang Benta Wawasan di Tawau itu direman selama tujuh hari untuk siasatan.
Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.
— BERNAMA

