Tumpu Promosi Malaysia Melalui Travel Mart Di Luar Negara – Mohamaddin

LAHAD DATU, 9 Jun- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan menumpukan usaha mempromosikan Malaysia melalui program Travel Mart di luar negara.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata langkah promosi itu akan dijalankan dalam tempoh terdekat sebagai membantu mengangkat produk pelancongan negara ke peringkat antarabangsa.

“Secara langsung, apa yang ada (produk pelancongan) di Sabah ini, seperti Daerah Lahad Datu ini kita boleh tunjukkan pada luar negara.

“Kita (di Lahad Datu) ada (produk pelancongan) boleh dilawati seperti Menara Kayangan, Lembah Danum, Tabin Wildlife Reserve dan terbaharu dengan penemuan Blue Rings di Teluk Darvel di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri bagi Parlimen Silam di sini, hari ini.

Mohamaddin berkata dalam tempoh beberapa bulan ini, pihaknya akan menghadiri lebih banyak program promosi Travel Mart yang diadakan di Beijing, Rusia dan sesetengah negara di Eropah.

Sementara itu, menurutnya kementerian dalam pertimbangan memperkenalkan perkampungan budaya di Sabah kerana melihat sebuah negeri yang kaya dengan pelbagai etnik dan hidup harmoni.

“Satu perkampungan akan dijadikan Pelancongan Desa sebagai kawasan hab pelancongan,” katanya ringkas.

Dalam perkara berasingan, Mohamaddin menegaskan pihaknya tidak akan ‘menganaktirikan’ Kempen Melawat Sarawak tahun ini meskipun berbeza ideologi politik atau pandangan antara negeri itu dan kerajaan pusat.

“Apa yang penting ialah memajukan sektor pelancongan negara kita.

“Saya tidak kisah tentang pandangan politik, sebagai contoh Kelantan dan Terengganu, saya tetap ke sana untuk memajukan sektor pelancongan di negeri berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamaddin berkata beliau akan ke Sarawak dalam tempoh terdekat dan tumpuan utama di negeri kenyalang itu berkaitan usaha untuk merancakkan hasil kraftangan, pusat pelancongan termasuk ekopelancongan.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *