Penculikan Ekspres

Penyiasat menggunakan kaki untuk menggerakkanAgensi

GENG kejam Crazy Boys (Budak Gila) membuat duit di Caracas – antara bandar paling berbahaya di dunia dengan menculik orang awam di khalayak ramai sebelum menuntut wang tebusan.

Bayaran dituntut mungkin sekadar kereta atau jam tangan, tetapi untuk negara yang bergelumang kemiskinan, ia masih dilihat sebagai menguntungkan.


Polis bersenjata mengawal keselamatan di kawasan miskin Antimano. FOTO Agensi

Venezuela diperintah Presiden Nicolas Maduro yang disokong Russia selama lima tahun dan negara itu kini menjadi ‘kambing hitam’ dalam perbalahan antara Presiden Vladimir Putin serta Donald Trump tahun ini dengan Rumah Putih meletakkan sokongan terhadap pembang­kang, Juan Guadio yang mendakwa memenangi pilihan raya.

Bagaimanapun, Maduro masih berkuasa di negara itu dalam keadaan inflasi membelenggu negara itu yang mengakibatkan penjenayah tegar sekalipun berfikir meninggalkan Venezuela.

Gengster digeruni, El Negrito, 24, mengaku tidur dengan pistol di bawah bantalnya selain tidak tahu berapa ramai orang sudah dibunuhnya.

Katanya, hiperinflasi merosakkan reputasinya malah setiap tembakan juga perlu dihitung kerana secara tidak langsung akan memerlukan perbelanjaan untuk diganti. Terbaharu, minggu lalu bank pusatnya mengumumkan Venezuela mengakhiri 2018 dengan inflasi melebihi 130,000 peratus.

Kalau dulu 10 bolivar untuk harga sepucuk pistol, pada masa sekarang nilai­nya hanya bersamaan AS$1 (RM4.20) dan tidak cukup untuk membeli sekotak rokok sekalipun.

“Sekali tembak nilainya AS$15 (RM63). Jika pistol hilang atau dirampas polis, melayanglah AS$800 (RM3,500),” katanya.

Dia mengetuai kumpulan Crazy Boys, geng yang merangkumi rangkaian jenayah di Petare, salah satu kawasan miskin paling ganas di Amerika Selatan.

Samseng itu berkata, kumpulannya kini melakukan hanya lima penculikan setahun, jumlahnya jauh berkura­ngan berbanding dulu.

Namun, katanya, ‘penculikan ekspres’ seperti itu amat menguntungkan. Lazimnya, mangsa dilarikan dan dijadikan tebusan sehingga 48 jam sementara keluarganya mencari wang untuk membayar pembebasannya. Keutamaannya adalah pembayaran cepat, bukan jumlah atau nilainya, seterusnya mangsa terus dihantar pulang.

El Negrito tidur dengan pistol di bawah bantalnya. FOTO Agensi

El Negrito berkata, jumlah tebusan bergantung kepada nilai kereta mangsa, tetapi mengakui keadaan mampu menjadi buruk jika tuntutan tidak dipenuhi.

Bagaimanapun, seperti rakan samsengnya yang lain, El Negrito mengakui sedang mempertimbang­kan untuk merantau ke negara lain mencari rezeki dengan cara yang tidak membabitkan jenayah.

Dia yang mempunyai isteri dan seorang anak perempuan yang masih kecil berkata, ramai rakan penjenayahnya meninggalkan dunia jenayah dan mencari kerja halal di luar negara, antara lain disebabkan pelaksanaan undang-undang ketat di situ.

Kehancuran ekonomi dan kemelut politik di negara kaya minyak itu menjadikan Venezuela kini seperti tiada undang-undang. Pada waktu malam, penduduk Caracas tidak lagi berani keluar rumah dan memilih berkurung walaupun tiada perintah diisytiharkan kerajaan.

Keadaan begitu teruk sehingga penduduk tidak memandang telefon bimbit mereka di luar rumah, malah meninggalkan semua barang kemas termasuk cincin perkahwinan tersorok di rumah.

Sementara itu, Pengarah Pemerhati Keganasan Venezuela, Robert Briceno berkata: “Semakin kurang wang, semakin kuranglah juga untuk dicuri. Hari ini semua orang berdepan kesukaran, baik rakyat yang cuba berusaha dengan cara baik untuk mendapat wang, mahupun penjenayah yang menjadikan mereka mangsa.” – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *