Warga Emas Maut Dirempuh Kereta Pacuan Empat Roda Di Kuala Penyu

SEKADAR GAMBAR HIASAN

Lelaki warga emas maut selepas dirempuh kenderaan pacuan empat roda ketika melintas jalan di Kampung Kerukan, Kualap Penyu, dekat Beaufort, semalam.

Dalam kejadian 7 malam itu, mangsa Tahau Dasar, 62, parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, kemalangan membabitkan sebuah kenderaan jenis Toyota Land Cruiser bersama seorang pejalan kaki.

“Siasatan awal mendapati pemandu kenderaan berusia 41 tahun dalam perjalanan dari Menumbok menuju Beaufort manakala mangsa melintas dari bahu jalan sebelah kanan ke kiri jalan arah Menumbok.

“Sebaik tiba di lokasi, mangsa secara tiba-tiba melintas jalan dan pada masa sama pacuan empat roda dipandu lelaki terbabit tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa di bahagian depan kiri kenderaannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmir berkata, akibat kejadian itu, mangsa yang parah di bahagian kepala meninggal di lokasi kejadian manakala pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan lanjut juga mendapati, kemalangan berpunca daripada kecuaian mangsa ketika melintas jalan

“Tiada unsur khianat atau jenayah dikesan dalam kemalangan ini namun siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Harian Metro

865