Tokan Dadah Warga Filipina dan penagih dicekup Di Telipok Ria

Antara suspek disyaki mengedar dan memiliki dadah serta dadah yang dirampas dalam serbuan. FOTO Ihsan PDRM

POLIS Tuaran menahan 14 pengedar dan penagih dadah hasil operasi selama seminggu di sekitar daerah ini yang berakhir semalam.

Dalam operasi bermula 27 Mei lalu, polis turut merampas dadah jenis Methamphetamine atau syabu seberat 16.03 gram bernilai RM2,403.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, pihaknya menerima aduan orang awam sebelum sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran menjalankan risikan dan serbuan di lokasi berkenaan.

Katanya, polis menahan seorang pengedar warga Filipina yang memiliki 13.66 gram syabu dipercayai untuk dijual kepada pelanggan di perumahan Taman Telipok Ria dan sekitar daerah ini.

“Selain itu, kita turut menahan seramai 13 lagi suspek disyaki penagih dadah.

“Daripada jumlah itu, seramai 10 yang ditahan positif dadah jenis syabu selepas menjalani saringan awal ujian air kencing manakala tiga lagi memiliki dadah jenis syabu,” katanya hari ini.

Mohd Hamizi berkata, semua suspek lelaki yang ditahan berusia 16 tahun sehingga 43 tahun.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

“Polis memohon kerjasama orang awam untuk terus menyalur sebarang maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah untuk menumpaskan sindiket pengedaran dadah di daerah ini,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *