Tidak perlu RCI kedua berkaitan pendatang tanpa izin – VK Liew

SANDAKAN, 2 Jun  – Tiada sebarang keperluan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja  (RCI) kedua berkaitan pendatang tanpa izin di Sabah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong hari ini.

Beliau berkata RCI berkaitan isu itu, yang berlangsung di hadapan panel lima anggota diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, telah pun bersidang dan berakhir pada 2013.

“Kita boleh menggunakan laporan yang disiapkan ketika itu (2013) dan saya harap laporan berkenaan akan dikemukakan kepada kerajaan… mungkin kepada persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Sabah,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan  Aidilfitri kepada warga emas dalam kawasan Parlimen Batu Sapi di sini.

Liew, yang juga Anggota Parlimen Batu Sapi, mengulas gesaan Parti Bersatu Sabah supaya RCI kedua ditubuhkan bagi menyiasat pengeluaran dokumen kepada pendatang tanpa izin.

Mengenai RCI berhubung salah laku kehakiman, beliau berkata perkara itu akan diteliti sementara menunggu keputusan kes saman difailkan Presiden Parti Maju Sabah Datuk Seri Yong Teck Lee yang mencabar kesahihan RCI itu.

Liew berkata pengurusan kes bagi kes saman berkenaan akan dilakukan selepas sambutan Aidilfitri untuk menetapkan tarikh perbicaraan.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *