Bunuh, Kerat Kekasih & Sumbat Ke Dalam Peti Sejuk Beku

NOVOA (kiri) dan Katrina (tengah) mengaku bersalah di atas pertuduhan membunuh dan menyembunyikan mayat Shannon.Agensi

COLUMBUS, Ohio: Seorang lelaki berusia 33 tahun di Ohio semalam mengaku bersalah membunuh, mendera mayat dan beberapa tuduhan lain kerana membunuh dan memotong mayat bekas teman wanitanya yang ditemui dalam peti sejuk beku.

Arturo Novoa, 33, membuat pengakuan bersalah itu bersama puluhan tuduhan lain, termasuk membunuh Shannon Graves, 28, yang anggota tubuhnya ditemui pada Julai 2017 dalam peti sejuk beku di sebuah rumah di Campbell, dekat Youngstown.

Wanita itu kali terakhir dilihat pada Februari 2017.

Novoa memukul kepala Shannon beberapa kali dengan objek berat sebelum memotong tubuhnya. Lelaki itu juga membakar dada dan tengkorak mangsa dengan menggunakan asid sulfurik.

Lelaki itu dijadual dijatuhkan hukuman pada 14 Jun depan dan dijangka dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

Menurut Daily Mail yang memetik WFMJ, selepas kejadian, Novoa tinggal dalam apartmen Graves bersama teman wanita barunya, Katrina Layton, 36, yang dikatakan menggunakan kereta Shannon, menjaga anjing wanita itu, malah menggunakan telefon bimbit mangsa.

Novoa meminta kebenaran kepada tuan rumah untuk memindahkan peti sejuk bekunya ke ruang bawah tanah rumah tuan rumah terbabit dengan alasan bekalan elektriknya dipotong.

Isteri tuan rumah curiga apabila mendapati peti sejuk beku itu dikunci dengan mangga sebelum menemui anggota tubuh manusia dalam beg sampah di dalam peti berkenaan, lalu menghubungi polis.

Katrina turut didakwa membantu Novoa menyembunyikan mayat mangsa dan pendakwa memohon kepada mahkamah untuk meringankan hukumannya sebagai balasan menjadi saksi pendakwa.

Katrina memberitahu polis, dia membeli peti sejuk beku itu dari Walmart pada awal Julai dan mengaku menyaksikan pembunuhan itu, malah membenarkan mayat Shannon dipotong dalam garajnya. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *