Remaja maut main PUBG tanpa henti

REMAJA bermain permainan dalam talian selama enam jam.

NEW DELHI: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun maut akibat serangan jantung selepas didakwa bermain permainan dalam talian PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) selama enam jam tanpa henti, dalam kejadian di Madhya Pradesh, India.

Hindustan Times melaporkan, mangsa dikenali sebagai Furkhan Qureshi disahkan meninggal dunia pada Selasa lalu selepas dihantar ke hospital apabila rebah di rumahnya.

“Dia mula bermain permainan itu selepas waktu makan tengah hari dan berterusan selama enam jam.

“Sebelum rebah, dia menjadi tertekan dan mula menengking pemain lain,” kata bapanya, Harun Rashid Qureshi.

Ketika kejadian itu berlaku, adiknya, Fiza Qureshi duduk di sebelah mangsa dan memberitahu bagaimana abangnya melenting hingga melempar telefon pintar serta fon kepala kerana tidak berpuas hati dengan salah seorang pemain yang juga rakannya.

Furkhan dikejarkan ke hospital sejurus kemudian namun gagal diselamatkan apabila disahkan mati.

Menurut pakar kardiologi yang merawatnya, Dr Ashok Jain berkata, mangsa dibawa ke hospital dalam keadaan tanpa denyutan nadi.

“Kami cuba menyelamatkan dengan melakukan renjatan dan menyuntik ubat tetapi gagal.

“Keghairahannya bermain permainan itu mungkin menyebabkan adrenalin mangsa mengalir deras hingga berlaku serangan jantung.

“Saya merayu generasi muda supaya mengelakkan daripada bermain permainan seumpama ini kerana ia boleh menyebabkan serangan jantung,” katanya. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *