(Video) Solat Isyak di Masjid Puncak Alam Isnin lalu tak sah

SOLAT Isyak di Masjid Bandar Puncak Alam tidak sah dan perlu diganti semula. FOTO Tular Facebook

SOLAT Isyak yang dilakukan malam Isnin lalu di Masjid Bandar Puncak Alam di Shah Alam, adalah tidak sah dan perlu diganti semula.

Ahli Jawatankuasa Masjid Bandar Puncak Alam Fadli Mohd Yusuf berkata, kejadian terbabit disedari ahli kariah masjid berkenaan selepas selesai solat itu.

Beliau berkata, pihaknya kemudian terus merujuk perkara itu kepada pejabat Mufti Selangor untuk tindakan selanjutnya.

“Ketika kejadian, imam solat tidak membaca salah satu ayat di dalam surah al-Fatihah dan solat itu diteruskan sehingga selesai.

“Sejurus itu, ahli kariah bertanyakan kepada pihak masjid sama ada solat itu sah atau perlu diqada semula,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Terdahulu, tular rakaman video solat berkenaan di media sosial yang menyatakan mana-mana individu yang menjadi makmum ketika solat Isyak berkenaan untuk mengqada semula solat berkenaan.

Rakaman terbabit turut jelas kedengaran imam tidak membaca ayat ke-6 daripada tujuh ayat surah Al-Fatihah.

Mengulas lanjut, Fadli berkata, antara alasan dikemukakan Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid kepada pihak pengurusan masjid adalah rukun solat adalah perlu membaca Al-Fatihah dengan tertib.

“Beliau (Mufti) memberi contoh situasi yang berlaku ketika khutbah Jumaat suatu ketika dulu ketika khatib terlepas membaca ‘Ittaqullah’.

“Oleh yang demikian, beliau menyarankan agar semua yang bersolat Isyak pada malam itu perlu diqada semula,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *