Kaamatan wadah perpaduan rakyat Sabah – Mohd Shafie Apdal

KOTA KINABALU, 29 Mei Pesta Kaamatan yang merupakan satu daripada perayaan terbesar disambut setiap Mei di Sabah mampu menjadi wadah perpaduan bagi rakyat di negeri itu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata ini kerana Kaamatan, sambutan tradisi masyarakat Kadazan Dusun Murut dan Rungus sebagai tanda kesyukuran terhadap hasil tuaian padi itu, diraikan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit.

Justeru, Mohd Shafie mengajak seluruh rakyat di Sabah supaya menghayati makna sebenar perayaan Kaamatan sekali gus mensyukuri segala nikmat keharmonian dan kedamaian dikecapi ketika ini.

“Di Sabah, kita perlu bersyukur kerana kita terus hidup dalam keadaan aman dan harmoni meskipun ada golongan tertentu cuba mewujudkan sentimen perkauman, tetapi ikatan perpaduan kekal utuh dan kita berupaya menangkis segala ancaman daripada pihak tidak bertanggungjawab.

“Ini kerana, amalan hormat menghormati kepelbagaian budaya antara kita menjadi tunjang kepada perpaduan unik di negeri bawah bayu ini,” katanya dalam perutusan sempena perayaan pesta Kaamatan 2019 di sini, hari ini.

Mohd Shafie turut mengingatkan seluruh rakyat Sabah supaya sentiasa memelihara adat dan budaya masyarakat pelbagai kaum di negeri itu bagi memastikan ia tidak terhakis oleh arus kemodenan zaman.

“Disamping mengejar kekayaan dan kemodenan, janganlah lupa untuk mengamalkan budaya, istiadat dan warisan peninggalan nenek moyang kita,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *