Chelsea Juara Piala Liga Eropah

Pemain Chelsea meraikan kemenangan selepas menewaskan Arsenal pada aksi final Liga Europa sebentar tadi. – Foto Sky News

BAKU: Bukan hanya Chelsea yang meraikan kemenangan mereka ke atas Arsenal pada aksi final Liga Europa sebentar tadi.

Kemenangan 4-1 di Baku itu turut membawa khabar gembira buat kelab Perancis Lyon, yang kini terus layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara musim depan.

Manakala Arsenal – yang menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tangga kelima – memerlukan kemenangan pada perlawanan itu untuk kembali ke pentas tertinggi Eropah berkenaan selepas dua tahun menghilang.

Chelsea kendalian Maurizio Sarri sudah mengesahkan kelayakan menerusi kedudukan ketiga di Liga Perdana, jadi slot yang ditawarkan untuk juara Liga Europa itu membolehkan Lyon melepasi peringkat kelayakan.

Kelab Perancis itu menamatkan saingan Ligue 1 di tempat ketiga, dan sepatutnya perlu mengharungi dua pusingan kelayakan untuk mara ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara di mana mereka tersingkir di kelompok 16 terakhir.

Ia adalah tahun kedua berturut-turut Lyon mendapat laluan begini – musim lalu mereka turut berada di tangga ketiga Ligue 1 tetapi terus mara ke peringkat kumpulan selepas Atletico Madrid yang berada di tangga kedua La Liga menjuarai Liga Europa.

Lyon baru saja melantik pasukan pengurusan dari Brazil, dengan bekas pemain Juninho sebagai pengarah sukan dan Sylvinho – yang pernah bersama Arsenal – sebagai pengendali. – AFP

664