Mohd Hanafiee Jaffar bukan mangsa pertama suspek

Gambar Suspek (kanan)

KOTA KINABALU: Belum reda keadaan kita dikejutkan dengan kes pembunuhan seorang pemandu Grab, media sosial sekali lagi mengkhabarkan bahawa mangsa yang dibunuh dengan kejam itu bukanlah mangsa pertama suspek terbabit.

Dakwaan berkenaan seorang pengguna media sosial yang mengaku turut ditikam suspek kini ditularkan bagi memberi amaran kepada orang ramai agar sentiasa berhati-hati di mana pun berada.

Pengguna akaun terbabit yang namanya tidak dihebahkan kepada umum untuk tujuan keselamatan berkata, selepas ditikam mujurlah beliau sempat sampai di hospital pada masa yang tepat sebelum menjalani pembedahan kecemasan.

“Tikaman terbabit menyebabkan kantung perut bocor, dan semua asid dalam perut terkena bahagian usus.

“Selepas pihak hospital memberikan suntikan empat kali untuk menahan sakit pun tidak berkesan,” katanya semasa berkongsi sedikit sebanyak pengalamannya di hospital.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku dalam tempoh tiga minggu sebelum kejadian yang menggemparkan bukan sahaja di Sabah tetapi turut terkesan sehingga seluruh negara.

Mangsa turut menasihatkan agar pengguna lain lebih berhati-hati berkemungkinan besar terdapat lagi rakan suspek lain yang turut bersekongkol dalam kejadian ini.

Pengguna lain turut berkongsi maklumat yang mendakwa suspek dipercayai bekerja di salah sebuah kedai mencuci kereta di sebuah pusat membeli belah di sini.

Mereka juga meminta agar pihak polis segera menjalankan siasatan terhadap pemilik kedai mencuci kereta ini kerana menggaji pekerja yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Sementara itu, bersesuaian dengan kecanggihan teknologi masa kini dengan kepekaan netizen memberikan respon terhadap sesuatu kejadian, suspek juga didapati sempat membuat rakaman live selepas kejadian bunuh membabitkan pemandu Grab Jumaat lalu.

Bukan hanya membuat live malah suspek juga sempat menyanyikan lagu dan memuat naik beberapa keping gambar teman wanitanya dengan bertindak seolah-olah dia tidak pernah melakukan sebarang kesalahan berat sebelumnya.

Netizen juga melihat perlakuan suspek itu seperti sudah biasa melakukan jenayah berdasarkan kepada tindak tanduk yang dilakukannya pada hari sama semasa kehilangan pemandu Grab terbabit.

Gusar dengan keadaan membabitkan isu Pendatang Tanpa Izin (PTI) yang semakin membimbangkan, pihak berkuasa dan kerajaan digesa untuk mengambil tindakan proaktif yang boleh menyelesaikan atau mengurangkan masalah ini untuk memastikan keselamatan penduduk terus terpelihara. – Utusan Borneo

1970