35 bot penambang dikompaun langgar Peraturan Pelabuan Dan Dermaga Sabah

SEBAHAGIAN bot penambang yang ditahan selepas didapati melanggar Enakmen JPDS.

KOTA KINABALU: Sejumlah 35 bot penambang akan dikenakan kompaun selepas didapati melanggar beberapa peraturan mengikut Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS).

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohammad Pajeri Ali berkata kesemua kesalahan terbabit dikesan ketika Ops Gelora Khas yang dijalankan selama dua hari oleh sepasukan anggotanya di sini.

“Bertindak dengan kejadian kemalangan bot penambang baru-baru ini, PPM komited menguatkuasakan undang-undang dan peraturan Maritim di perairan ini dengan lebih tegas.

“Ini juga untuk memastikan pengguna di perairan lebih bertanggungjawab dan peka dengan keselamatan diri serta penumpang semasa berada di laut,” katanya.

Mengenai operasi itu, beliau berkata tumpuan Ops Gelora Khas adalah membabitkan kesalahan mengikut Enakmen JPDS, Akta Imigresen 1959/63 dan kesalahan lain berkaitan.

“Sepanjang operasi dijalankan kita menjalankan pemeriksaan terhadap 78 bot penambang dengan pemeriksaan juragan serta orang awam di dalam bot terbabit.

“Kesemua yang diperiksa seramai 374 warga tempatan serta 75 warga Filipina yang berdaftar mengikut dokumen IMM13,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata pihaknya berjaya menahan 35 bot penambang yang didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuklah membawa penumpang secara berlebihan, alat keselamatan iaitu jaket serta pelampung tidak dibawa di dalam bot dan gagal memaklumkan pertukaran juragan di dalam lesen.

Katanya kesemua pemilik bot akan dilaporkan untuk tujuan kompaun mengikut Enakmen JPDS.

“Kita harapkan dengan pelaksanaan operasi ini berjaya memberi kesedaran kepada penduduk serta komuniti nelayan agar lebih peka semasa mengendalikan bot penambang.

“Juragan bot juga diingatkan untuk membawa bot dengan lebih cekap agar penumpang selamat sampai ke destinasi terutamanya sepanjang musim perayaan.

“Operasi dan rondaan akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi keselamatan penduduk sekitar kawasan pulau berdekatan dan pesisir pantai,” katanya. – Utusan Borneo

737