Kemuncak sambutan Pesta Kaamatan: Ribuan pengunjung banjiri Hongkod Koisaan

PENAMPANG: Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini, menjadi tumpuan ribuan pengunjung termasuk pelancong, sempena kemuncak sambutan Tadau Kaamatan atau Pesta Menuai yang berlangsung esok dan lusa.

Pelbagai acara berunsur kebudayaan memeriahkan sambutan dua hari itu dengan kemuncaknya ialah pemilihan Unduk Ngadau atau Ratu Kaamatan yang menjadi simbolik kisah pengorbanan seorang gadis bernama Huminodun kepada masyarakat Kadazandusun.

Tahun ini, seramai 64 gadis Kadazandusun dan Murut yang mewakili daerah serta pekan dari seluruh negeri, bakal bersaing merebut gelaran Unduk Ngadau yang dijangka diketahui pada malam 31 Mei.

Kaamatan dirayakan sebagai tanda kesyukuran masyarakat Kadazandusun dan Murut atas hasil padi yang dituai, dengan pengisiannya lebih kepada acara kesenian dan kebudayaan diwarisi daripada nenek moyang mereka.

Hongkod Koisaan yang menjadi lokasi kemuncak sambutan Kaamatan setiap tahun, turut diserikan dengan hiasan berunsur padi serta budaya berkaitan warisan tradisi masyarakat Kadazandusun dan Murut sejajar makna perayaan itu bagi masyarakat berkenaan.

Selain program rasmi di dalam dewan dan dewan terbuka, pengunjung berpeluang menyaksikan persembahan kesenian, pameran kebudayaan serta jualan kraftangan di 11 rumah tradisi etnik Kadazandusun dan Murut di sekitar Hongkod Koisaan.

Antara rumah tradisi itu ialah rumah Bisaya, Kadazan Penampang, Kadazan Papar, Dusun Ranau, Dusun Lotud (Tuaran), Dusun Tindal (Kota Belud), Dusun Tatana (Kuala Penyu), Dusun Tambunan, rumah panjang Murut (Tenom) dan rumah panjang Rungus (Kudat).

Kaamatan disambut selama sebulan dengan majlis pelancaran dirasmikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, di Pitas pada 1 Mei lalu, disusuli sambutan pada peringkat kampung dan daerah sebelum berakhir di Hongkod Koisaan pada 30 dan 31 Mei.

Tahun ini, Jawatankuasa Induk Penganjur Kaamatan yang dipengerusikan Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Peter Anthony, memilih tema `Kaamatan Wadah Perpaduan Budaya Bangsa’ bagi menggambarkan perpaduan pelbagai kaum dan budaya di Sabah.

Peter mengetuai jawatankuasa itu sejak tahun lalu selepas Parti Warisan Sabah (WARISAN) dengan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada Barisan Nasional (BN).

Perubahan politik negeri tidak menjejaskan program tradisi sambutan Kaamatan yang sebelum ini diketuai Huguon Siou atau Pemimpin Agung Kadazandusun yang juga Presiden KDCA, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Peter sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, sambutan Kaamatan kekal sebagai acara kebudayaan yang tidak harus dicampurkan dengan agenda politik.

“Kaamatan adalah acara kebudayaan, bukan program berunsur politik dan sekarang kita sudah sampai kemuncak sambutan Kaamatan peringkat negeri selepas semua daerah lain selesai menganjurkan sambutan masing-masing,” katanya.

Esok, acara sukan tradisi bakal memeriahkan sambutan Kaamatan di Hongkod Koisaan, manakala Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dijadual menyempurnakan majlis penutupan pada Jumaat ini. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *