Dabra Sia Ying Ying wakil DUN Kadamaian muncul juara Pertandingan Akhir Sugandoi Kaamatan 2019

FOTO BERNAMA

PENAMPANG, 29 Mei – Dabra Sia Ying Ying mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian muncul juara Pertandingan Akhir Sugandoi Kaamatan peringkat negeri di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan Dabra membawa balik hadiah wang tunai RM6,000, trofi dan barangan elektrik.

Tempat kedua dimenangi Eylia Eyre Guntabid mewakili DUN Luyang mendapat hadiah wang tunai RM4,000, trofi dan barangan elektrik, manakala Adrian Dauli mewakili DUN Karamunting di tempat ketiga membawa balik hadiah wang tunai RM3,000, trofi dan barangan elektrik.

Seramai 10 peserta bertanding pada pertandingan akhir sugandoi kaamatan itu yang merupakan antara acara yang menjadi tumpuan pada sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri selain pertandingan Unduk Ngadau.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan peringkat negeri, yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri Datuk Peter Anthony.

Pada pertandingan akhir malam tadi, 10 finalis membawa dua buah lagu berbahasa Kadazan, Dusun atau Murut (KDM) yang mana salah satunya adalah lagu-lagu songkotoun.

Sepuluh peserta peringkat akhir membuat persembahan dengan diiringi dengan mini orkestra dan dibenarkan membuat susunan gubahan muzik medley lagu pilihan pertama dan kedua mengikut keselesaan serta kepuasan peserta bagi tujuan peningkatan kreativiti.

Edisi tahun ini merupakan edisi ke-31 sejak pertandingan yang dahulunya dikenali sebagai Bintang Kaamatan ini dianjurkan pada 1987.

Sambutan pesta Kaamatan peringkat negeri di Hongkod Koisaan KDCA akan diteruskan esok iaitu perasmian pameran dan sukan tradisi oleh Peter.

Jumaat ini menjadi acara kemuncak sambutan pesta kaamatan peringkat negeri membabitkan acara perasmian dan penutupan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Hongkod Koisaan KDCA.

Menjadi tumpuan pada acara perasmian dan penutupan ini adalah Pertandingan akhir Unduk Ngadau membabitkan 64 peserta bagi merebut gelaran itu.

— BERNAMA  

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *