Cuba Dapatkan Bekalan Petrol Untuk Diseludup, Empat PATI Ditahan Di Tawau

EMPAT pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan ketika cuba mendapatkan bekalan petrol untuk diseludup ke negara jiran selepas dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan perairan Tinagat, awal pagi tadi. – Foto ihsan Pasukan Polis Marin W4 Sabah

TAWAU: Empat pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan ketika cuba mendapatkan bekalan petrol untuk diseludup ke negara jiran selepas dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan perairan Tinagat, di sini, awal pagi tadi.

Mereka ditahan sepasukan anggota PPM yang sedang menjalankan tugas ‘Ops Gelora Khas’ selepas perahu suspek dikesan dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan pada kira-kira jam 1.30 pagi.

EMPAT pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan ketika cuba mendapatkan bekalan petrol untuk diseludup ke negara jiran selepas dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan perairan Tinagat, awal pagi tadi. – Foto ihsan Pasukan Polis Marin W4 Sabah

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata ketika ditahan semua suspek warga Filipina berumur antara 19 hingga 28 tahun itu gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mereka sedang menghala ke kawasan perumahan setinggan perkampungan atas air di Batu 4, Tawau.

“Hasil pemeriksaan lanjut, kita turut menemui sebanyak 27 tong minyak kosong disimpan di ruang perahu terbabit.

“Pengakuan awal secara lisan mendapati mereka cuba mendapatkan bekalan minyak petrol di kawasan perumahan setinggan terbabit sebelum diseludup keluar ke negara jiran Filipina,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, mereka kemudian ditangkap dan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut.

Katanya, turut dirampas sebuah perahu bersama tiga unit enjin pam bernilai kira-kira RM6,500 manakala siasatan dibuat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – Berita Harian

588