ADUN Kemabong, Jamawi Jaafar kekalkan tradisi hantar kad raya

JAMAWI Jaafar menandatangani sendiri kad ucapan Aidilfitri dicetak sendiri akan dihantar kepada rakan taulan di seluruh negara sempena sambutan Aidil Fitri tahun ini. Foto Facebook Jamawi Jaafar

KOTA KINABALU: Ketika semakin ramai menyampaikan ucapan menyambut Aidilfitri melalui kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong terus mengekalkan tradisi menghantar kad raya.

Bagi Jamawi Jaafar, menghantar kad ucapan Aidilfitri lebih bermakna dan ia tidak harus dilupakan walaupun penggunaan kemudahan ICT seperti media sosial WhatsApp, Facebook serta emel adalah percuma dan lebih cepat.

Katanya, beliau lebih gemar menghantar kad raya yang dicetak sendiri kepada rakan di seluruh negara, malah ia sudah menjadi amalan setiap kali menjelang sambutan Aidilfitri.

KAD ucapan Aidilfitri dicetak sendiri berlatarkan gambarnya bersama isteri berpakaian tradisi Murut. NSTP/Ihsan Pembaca.

“Suatu ketika dahulu, menghantar kad raya menjelang Aidilfitri adalah satu ‘kewajipan’ bagi setiap orang.

“Ramai berebut-rebut menghantar kad raya pelbagai bentuk dan saiz kepada keluarga serta kenalan mereka, berbeza dengan sekarang di mana ramai lebih gemar memuat naik dalam media sosial,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Lebih menarik, kad ucapan Aidilfitri kiriman Jamawi akan ditandatangani beliau bagi menggambarkan ketulusan hati walaupun ada rakan menyarankan penggunaan cap bagi memudahkan.

Beliau yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Sabah berkata, pengaruh media sosial yang semakin menguasai dunia menyebabkan orang ramai kini lebih cenderung memilih medium baharu itu untuk menyampaikan ucapan.

“Satu sebabnya, mungkin ia lebih mudah, selain mengikut gaya terkini dan dapat merakamkan gambar sambutan untuk dikongsi melalui media sosial tanpa melalui khidmat pos.

“Saya juga menggunakan aplikasi itu. Namun, saya lebih suka dan mengekalkan tradisi menggunakan kad serta menghantarnya kepada rakan, termasuk pemimpin di seluruh negeri. Tahun ini, saya menyediakan sebanyak 2,000 kad raya,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *