Pelajar lelaki cedera paha, pinggul terbabit kemalangan

Mangsa dibantu orang ramai dalam kemalangan sebelum dihantar ke Hospital Tawau. – Foto Ihsan Pembaca

TAWAU: Seorang pelajar lelaki Kolej Tingkatan Enam cedera di bahagian paha dan pinggul manakala rakannya cedera ringan selepas motosikal dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan jenis Proton Suprima, di simpang masuk ke Sekolah Menengah Teknik, dekat sini pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Nor Azizulkifli Mansor berkata kejadian pada pukul 6.30 pagi itu berlaku ketika mangsa Mohd Amirul Samiruding, 19, bersama rakannya Farah Ardiana Abdullah Rahman, 17, dalam perjalanan dari Taman Semarak menuju ke Sekolah Menengah (SM) St Patrick. 

“Ketika tiba di tempat kejadian, pemandu berusia 49 tahun dari arah bertentangan cuba masuk ke simpang SM Teknik hingga menyebabkan mangsa yang berada di jalan lurus tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian kiri kenderaan terbabit. 

“Akibat kemalangan itu, Mohd Amirul cedera di bahagian paha dan pinggul serta masih menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Tawau manakala  Farah Ardiana menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *