PUTRAJAYA: Pembayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 fasa kedua akan dilaksanakan mulai 28 Mei ini membabitkan hampir 3.6 juta penerima dengan anggaran peruntukan sebanyak RM1.42 billion.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata pembayaran fasa kedua itu adalah berdasarkan kategori yang merangkumi bilangan anak tanggungan dan nilai BSH 2019 yang akan diterima.
Katanya, kadar BSH yang akan diterima mengambil kira 3.23 juta anak penerima berumur 18 tahun ke bawah kecuali anak kurang upaya (OKU) yang tidak dihadkan umur mereka.
“Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing. Bagi mereka yang tidak mempunyai akaun bank, pembukaan akaun bank pemohon secara automatik akan dilakukan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) berdasarkan persetujuan dan akuan pemohon yang terdapat pada borang permohonan BSH 2019.
“Kementerian Kewangan ingin menegaskan bahawa BSH diberi kepada mereka yang benar-benar layak mengikut kategori pendapatan yang telah ditetapkan.
“Pada setiap tahun, Kementerian Kewangan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan membuat semakan permohonan BSH termasuk maklumat penerima sedia ada bagi memastikan maklumat dikemukakan oleh pemohon adalah tepat dan hanya yang layak sahaja akan menerima BSH,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Guan Eng berkata, pelaksanaan proses verifikasi dibuat secara menyeluruh terutama dalam mengenal pasti pendapatan terkini pemohon dengan membuat semakan data bersama pelbagai agensi.
Agensi terbabit termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), LHDN, Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan lain-lain agensi berkaitan.
“Ini adalah proses biasa yang dijalankan oleh LHDN setiap tahun. Bagi memastikan program BSH 2019 disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak, tempoh permohonan rayuan akan dibuka mulai 1 Julai hingga 15 Ogos 2019.
“Dengan adanya proses rayuan ini, sebahagian daripada yang tidak layak masih diberi ruang untuk mengemukakan rayuan berserta dokumen berkaitan untuk diverifikasi semula oleh LHDN,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2747 serta e-mel kepada [email protected]. – Berita Harian