MPKK perlu sediakan profil kampung untuk mudahkan pembangunan – Madius

TUARAN, 24 Mei – Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menyarankan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) khususnya di kawasan Tuaran dapat menyediakan profil kampung bagi mengetahui keperluan sekali gus memudahkan kerajaan menyalurkan peruntukan pembangunan.

Beliau, yang juga Anggota Parlimen Tuaran berkata, profil kampung berkenaan perlu disediakan secepat mungkin kerana kerajaan menghadapi kesukaran untuk menilai keperluan setiap kampung di kawasan berkenaan sekiranya pihak MPKK tidak menyediakan profil kampung yang lengkap.

“Profil kampung penting bagi menyimpan segala maklumat termasuk latar belakang kampung, jumlah kependudukan, rekod pembangunan yang ada dan senarai pembangunan diperlukan dan pengerusi MPKK bersama ahli jawatankuasa perlu memberi kerjasama dan komitmen dalam menyediakan profil ini,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan watikah pelantikan 74 pengerusi MPKK bagi kawasan Dewan Undangan Kiulu, di sini hari ini.

Madius berkata, semua yang telah dilantik menjadi pengerusi MPKK perlu menjalankan tanggungjawab dan amanah dengan sebaik mungkin.

“Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah menyediakan perancangan, selain menyediakan profil kampung. Perancangan sangat penting untuk memastikan kampung masing-masing dapat menerima pembangunan seiring dengan kampung lain.

“MPKK yang dilantik juga perlu ingat bahawa MPKK adalah kerajaan yang telah dipertanggungjawabkan untuk mengurus atau mentadbir kampung serta menjadi pengantara kepada rakyat dan kerajaan,” katanya.

— BERNAMA

556