Lelaki Filipina ditahan guna rumah sewa sebagai tempat mengedar dadah

Suspek ditahan dalam serbuan yang dibuat di rumah sewa di Kampung Sim-Sim, Sandakan – Foto IPD Sandakan

SANDAKAN, 24 Mei – Polis Sandakan menahan seorang lelaki warga Filipina berumur 46 tahun disyaki pengedar dadah dalam serbuan di sebuah rumah sewa di Kampung Sim-Sim di sini tengah malam tadi.

Ketika mengesahkan kejadian itu, Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Mohd Azhar Hamin berkata serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Sandakan itu dijalankan pukul 12.15 tengah malam semalam menemukan beberapa bekas plastik berisi hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu anggaran berat 35.92 gram di rumah sewa suspek.

Antara barang yang dirampas – Foto IPD Sandakan

“Hasil saringan ujian air kencing terhadap suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Rumah sewa suspek ini juga dijadikan sebagai tempat membungkus dadah sebelum diedar di kawasan sekitar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Azhar berkata suspek disiasat di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *