Tak jadi Piala Dunia 48 pasukan

PERSEKUTUAN Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menolak rancangan menambah Piala Dunia Qatar 2022 kepada 48 pasukan awal pagi tadi, mencetus tamparan buat presidennya Gianni Infantino.

Pusingan akhir 2022 di negara Teluk ini kini kekal dengan 32 negara mengambil bahagian.

FIFA menyatakan ia membatalkan rancangan penambahan itu “susulan proses rundingan secara mendalam dan komprehensif” yang menjurus kepada rumusan bahawa “dalam keadaan semasa rancangan itu tidak boleh dijayakan.”

“Sehubungan itu kejohanan kali ini kekal seperti rancangan asal dengan 32 pasukan dan tiada sebarang proposal akan dibentangkan pada kongres FIFA berikutnya 5 Jun ini,” menurut FIFA dalam satu kenyataan.

Penambahan pasukan itu adalah projek Infantino, yang menggesa idea itu di sebalik jiran Qatar perlu menarik semula sekatan selama dua tahun dan turut membantu menjadi hos.

“Pembabitan negara ini dalam penganjuran kejohanan secara bersama dengan Qatar memerlukan sekatan itu ditarik balik, terutamanya sekatan pergerakan orang ramai dan barangan,” menurut satu kajian yang dibentangkan pada kongres FIFA di Miami, Mac lalu.

Kajian itu turut mendakwa Piala Dunia Qatar dengan 48 pasukan akan menjana “antara AS$300-AS$400 juta (RM1.2-RM1.7 bilion) pendapatan tambahan.”

Secara khusus, FIFA menjangkakan tambahan AS$120 juta (RM502 juta) dari segi hak penyiaran televisyen, AS$150 juta (RM628 juta) dari segi hak pemasaran dan AS$90 juta (RM376 juta) menerusi jualan tiket. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *