Selepas Kit Siang sahut cabaran, Najib cadang tarikh debat selepas Raya

Najib juga meminta debat antaranya dengan Lim Kit Siang disiarkan secara langsung

PETALlNG JAYA: Selepas pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang menyahut cabaran debat beliau, bekas perdana menteri, Najib Razak seterusnya mencadangkan acara itu dilakukan selepas sambutan hari raya Aidilfitri.

Beliau juga meminta debat itu disiarkan secara langsung supaya dapat diikuti oleh rakyat

“Lim telah bersetuju untuk berdebat dengan saya. Dia cadangkan topik debat seperti berikut ‘Bagaimana Malaysia menjadi sebuah negara kleptokrasi dan bagaimana kita menjadi negara berintegriti’.

“Saya terima tajuk disarankannya, tetapi seadilnya dan semoleknya kita perlu bincangkan topik-topik lain semasa debat ini,” katanya di laman Facebook beliau.

Najib juga berkata pegawainya akan berhubung dengan pegawai Lim bagi menganjurkan debat tersebut.

Terdahulu Lim menyahut cabaran debat daripada Najib, selepas melancarkan serangan terbaru ke atas bekas perdana menteri itu dengan melabelkannya “penipu patologi” dan mendakwanya memesongkan soalan mengenai skandal 1MDB.

Dalam satu temu bual dengan FMT yang disiarkan hari ini, Najib dilaporkan berkata, debat dengan Lim akan membolehkan orang ramai menilai pendirian mereka dalam isu tertentu.

“Dia boleh bertanya apa-apa pada saya, termasuk 1MDB. Dan saya boleh bertanya apa-apa padanya. Atas semangat demokrasi yang sihat, dia harus menyahut cabaran,” kata ahli Parlimen Pekan itu.

Dalam respons balasnya terhadap cadangan tarikh debat oleh Najib, Lim berkata, beliau tidak menolak sekiranya topik lain turut dibincangkan dalam debat yang bakal diadakan, tetapi menetapkan syarat tajuk debat yang dicadangkannya sebelum ini, iaitu “Bagaimana Malaysia menjadi sebuah negara kleptokrasi dan bagaimana kita boleh menjadi negara berintegriti” tidak boleh diubah sama ada di tempat debat kelak atau di mana-mana tempat lain.

Lim berkata, beliau melantik setiausaha politik Syahredzan Johan dan pegawai perhubungan parlimennya, Ahmad Faiz Mustafa untuk berhubung dengan pegawai Najib bagi memuktamadkan butiran mengenai debat yang bakal diadakan selepas Hari Raya itu.

Dalam kenyataan yang sama, Lim juga mengalu-alukan rakyat Malaysia yang mempunyai pandangan dan cadangan mengenai tajuk debat supaya menghantarnya ke emel beliau. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *