Cora Wybin Kekal Unduk Ngadau Bingkor

Cora Wybin kekal wakil Unduk Ngadau Bingkor. Gambar KDCA Keningau

KOTA KINABALU: Status Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Bingkor, Cora Wybin yang dikatakan tidak diiktiraf oleh Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan Negeri diselesaikan secara positif apabila beliau disahkan kelayakannya ke peringkat negeri.

Naib Presiden KDCA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana dan Penyelaras Induk (MICC) Kaamatan Negeri, Datuk Daniel Kinsik mengesahkan bahawa Cora kekal sebagai wakil Dun Bingkor ke pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan peringkat negeri nanti.

Katanya beliau ada menghubungi Menteri Pembangunan Infrastruktur merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Kaamatan Negeri, Datuk Peter Anthony pagi tadi dan akan menyelesaikan isu berkenaan.

“Saya menghubungi beliau sekali lagi petang tadi, dan beliau menyatakan isu berkenaan sudah selesai. Johan Unduk Ngadau dan Sugandoi Kaamatan Dun Bingkor (baru-baru ini) akan mewakili Bingkor ke pertandingan peringkat negeri,” katanya ketika ditemui di Hongkod Koisaan KDCA, hari ini.

Pesta Kaamatan Bingkor telah diadakan pada 27 April lalu sempena pelancaran Pesta Kaamatan KDCA iaitu sebelum kerajaan negeri membuat keputusan untuk bekerjasama dengan KDCA dalam penganjuran perayaan tersebut.

Selepas kerajaan negeri mengadakan pelancaran Pesta Kaamatan peringkat negeri di Pitas pada 1 Mei lalu, kemuncak pesta Kaamatan pada 30-31 Mei telah dirancang di Pusat Kebudayaan Penampang.

Daniel berkata pihak KDCA kemudian mendapat surat rasmi dari Kerajaan Negeri menyatakan hasrat bekerjasama maka itu kemuncak Pesta Kaamatan peringkat negeri tahun ini kekal di Hongkod Koisaan.

Walau bagaimanapun, Daniel berkata mereka dimaklumkan bahawa Cora bukan wakil Unduk Ngadau Bingkor kerana panganjuran Pesta Kaamatan Bingkor pada 27 April itu tidak diiktiraf disebabkan tidak melibatkan kerajaan negeri.

Turut tersebar bahawa Pesta Kaamatan Dun Bingkor akan diadakan sekali lagi di Dewan Terbuka Bingkor, pada 25 Mei dan pertandingan Unduk Ngadau akan diadili semula untuk memilih pemenang yang sah.

Kontroversi dan tanda tanya berkenaan status UNK Dun Bingkor itu mula tersebar di media sosial pada Isnin.

Cora bagaimanapun melalui page Facebook peribadinya pada Isnin menyatakan tidak akan menyertai pertandingan Unduk Ngadau kali kedua itu.

“Dengan rendah hati saya menarik diri dari finalist UN Dun Bingkor. Saya sangat bersyukur sampai ke tahap ini, walaupun tidak kesampaian menginjakkan kaki ke KDCA.

“Namun, saya tetap bersyukur dan rela hati memberikan peluang ini kepada orang lain. Mungkin bukan rezeki bagi saya pada tahun ini,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Presiden KDCA merangkap Ahli Parlimen Keningau Datuk Dr Jeffrey Kitingan merayu agar Unduk Ngadau Bingkor dan Kaamatan KDCA Keningau itu diiktiraf kerana ia juga dianjurkan oleh KDCA sendiri dan dirasmikan oleh Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Katanya tidak ada alasan UNK Bingkor tidak diiktiraf sebagai pemenang yang sah dalam perayaan kebudayaan itu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bingkor merangkap Pengerusi KDCA Keningau, Robert Tawik ketika dihubungi untuk mengulas isu tersebut, berkata beliau ada meminta hitam putih yang menyatakan Kaamatan Bingkor tidak diiktiraf namun tiada satu surat yang sampai sehingga hari ini.

“Saya juga meminta untuk menyatakan siapa yang mengarahkan dan menyatakan Kaamatan Bingkor tidak diiktiraf, namun tiada jawapan hitam putih diterima.

“Oleh itu, saya tetap dengan pendirian terhadap pengiktirafan serta keputusan mesyuarat mantan Pegawai Daerah Keningau pada mesyuarat Kaamatan Bingkor yang lalu.

“Pegawai Daerah Keningau sendiri mengesahkan dan semua jawatankuasa sebulat suara, tanpa bantahan terhadap penganjuran ini,” jelasnya.-SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *