16 pemilik gerai makanan bazar Ramadan di Sandakan dikompaun

PENOLONG pegawai persekitaran mengambil sampel makanan untuk dianalisa.
PENOLONG pegawai persekitaran mengambil sampel makanan untuk dianalisa.

SANDAKAN: Seramai 16 pemilik gerai makanan di bazar Ramadan di sini telah diberikan notis kompaun oleh Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan atas beberapa kesalahan.

Pegawainya Dr Johari Awang Besar berkata ia termasuk dua kesalahan tidak mematuhi kehendak berhubung tugas-tugas am pemilik premis, empat kesalahan tidak mematuhi kehendak berhubung latihan pengendali makanan serta 10 kesalahan tidak mematuhi peraturan pakaian pengendali makanan.

Katanya, notis kompaun itu mengikut Seksyen 32B Akta Makanan 1983 kerana dikesan melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dengan nilai kompaun antara RM100 dan RM1,000.

“Hasil penguatkuasaan, pihak kita juga telah mengambil sebanyak 11 sampel makanan untuk dianalisa mikrobiologi dan masih menunggu keputusan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mengulas lanjut, Dr Johari berkata setakat ini, pihaknya dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) telah memeriksa sebanyak 273 gerai dengan 551 pengendali makanan di lapan lokasi bazar Ramadan sekitar sini.

Pemeriksaan itu telah dijayakan seramai 25 penolong pegawai persekitaran yang membabitkan lima kumpulan dari Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan serta pegawai penguatkuasa Kesihatan Awam dari PBT.

“Tumpuan operasi pada tahun ini adalah khusus kepada peniaga yang menyedia dan menjual juadah di bazar-bazar Ramadan di sekitar Bandar Sandakan.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan agar bijak memilih makanan yang bersih dan selamat. Ia bagi mengelak berlakunya kejadian penyakit bawaan makanan seperti kes keracunan makanan, kolera, kepialu dan lain-lain,” katanya. – Utusan Borneo

910