Temui damai di taman laut

PEMANDANGAN di Pulau Mantabuan, Mabul. FOTO Nurul Ssyazana Rose Razman

MALAYSIA dikurniakan banyak pulau memukau dan bertaraf dunia untuk percutian idaman anda.

Sabah khususnya, mempunyai beberapa pulau indah dengan hamparan pasir pantai yang memutih dan air laut jernih hingga diberi jolokan ‘Maldives Asia Tenggara’. Taman Marin Tun Sakaran misalnya menjadi destinasi percutian impian setiap pencinta alam semula jadi.

AKTIVITI snorkeling antara yang wajib dilakukan jika berkunjung

Ia terletak di pintu masuk ke Teluk Darvel, di luar pantai timur Sabah berhampiran pekan Semporna. Cara terbaik untuk menerokai taman ini adalah dengan mengambil lawatan berpakej dan menjelajah dari satu pulau ke pulau yang lain.

Kesempatan menyertai Tourism Malaysia ke Pulau Mabul di Semporna, baru-baru ini membawa penulis mendalami keindahan taman laut yang terkenal dengan kekayaan khazanah hidupan laut dan terumbu karang yang mempesonakan.

Sebaik tiba, pandangan terpesona dengan kejernihan air laut sehingga dasarnya boleh dilihat dengan jelas menyebabkan penulis tidak melepaskan peluang merakam keindahan landskap menakjubkan ciptaan Ilahi ini.

Jika kedamaian dan ketenangan yang dicari, di sinilah destinasi wajib dikunjungi sekurang-kurangnya sekali dalam hidup anda.

Di taman laut ini terletaknya beberapa pulau yang dilindungi antaranya Pulau Sibuan. Pulau ini memiliki tarikan luar biasa setanding destinasi pelancongan yang wajib dikunjungi seperti Pulau Sipadan.

Kunjungan ke Pulau Sibuan di perairan Laut Sulawesi itu ternyata sangat berbaloi kerana keindahannya sungguh mengagumkan.

Meskipun kawasan beting pasir yang dikelilingi air laut jernih dan saujana mata memandang sesak dengan pelancong namun tidak menghalang penulis menikmati keindahannya yakni menyertai aktiviti snorkeling.

Jika melancong ke Pulau Sibuan jangan lupa membawa bekalan makanan kerana tiada kemudahan kedai makan dan runcit di situ namun dilengkapi Pos Kawalan Keselamatan.

Tidak sempurna kunjungan tanpa menyaksikan sendiri kehidupan masyarakat di perkampungan Bajau Laut di Pulau Tetagan yang menjadi antara tarikan budaya istimewa taman marin itu.

WAKIL media bergambar kenangan di Pulau Bohey Dulang.

Masyarakat yang digelar Gipsi Laut itu tiada kerakyatan, hidup secara nomad dan kebanyakannya hanya di atas air. Mereka bergerak menggunakan sejenis bot kayu buatan tangan dipanggil lepa dan

tinggal di rumah kayu dibina di atas air.

Penulis difahamkan mereka hanya berada di darat untuk membeli barang keperluan malah dikatakan ‘mabuk darat’ kerana tidak betah berada di darat terlalu lama.

Ramai daripada mereka bekerja sebagai nelayan, membuat bot dan sebahagian adalah penyelam yang sangat baik. Dapat dilihat betapa mahirnya kanak-kanak kecil mengemudi lepa bagaikan pendayung profesional.

KAWALAN tentera di Pulau Mantabuan.

Pengalaman tidak dapat dilupakan apabila sekumpulan kanak-kanak dan remaja Bajau Laut menerpa bot yang kami naiki, dengan ada antaranya yang merayu meminta duit dan makanan malah tidak kurang juga golongan warga emas menjual hasil laut di atas lepa.

Melihat kehidupan mereka yang jauh dari dunia luar memberi pengalaman baharu buat kami. Hidup mereka hanya dengan alam semula jadi tanpa gangguan gajet dan Internet.

Kami sempat singgah di pekarangan Pulau Bohey Dulang yang dikatakan menawarkan pemandangan menakjubkan, namun kurang bernasib baik kerana sebaik tiba, hujan lebat dan pendakian ke puncak dilarang.

Difahamkan, pulau itu terbentuk daripada letusan gunung berapi jutaan tahun dahulu dan kawah daripada sisa letusan itu kini dibanjiri air laut untuk membentuk lagun yang besar.

Ia pulau terbesar daripada lapan pulau di Taman Marin Tun Sakaran. Pulau ini dikatakan mempunyai spesies batu karang dan ikan terbanyak di dunia.

Faktor itu menyebabkan Pulau Bohey Dulang menawarkan percutian penuh pesona dan keterujaan.

Selain dasar laut dan permukaan airnya yang mempesona, Pulau Bohey Dulang juga terkenal dengan pemandangan menarik dari bahagian atas puncaknya selain berpeluang memerhati burung. Untuk menyaksikan keindahan itu, pengunjung perlu mendaki bukit tertinggi di pulau itu.

SUASANA kehidupan masyarakat Bajau Laut di Pulau Tetagan.

Tidak jauh daripada pulau itu terletaknya Pulau Mantabuan, iaitu pulau terkecil di Taman Marin Tun Sakaran. Menariknya, ia didiami sekumpulan kecil suku Bajau Asli di pesisir pantai yang mesra dan tidak kekok menerima kunjungan pelancong.

Penduduk kampung, Nordin Hassan, 37, menjadikan sebahagian pondok yang didiami bersama isteri dan tiga anaknya sebagai kedai runcit.

Selepas perjalanan seharian menjelajah pulau itu, kami kembali ke tempat penginapan di Sipadan Mabul Resort, Pulau Mabul. Penulis bersama jurugambar tidak membuang masa menuju ke lokasi sesuai untuk merakam panorama indah berlatar belakangkan matahari terbenam.

Kami juga sempat melawat kampung bersebelahan lokasi penginapan. Rata-rata penduduk kampung itu beragama Islam dengan sebahagian besar terdiri daripada masyarakat etnik Bajau Laut dan Suluk. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *