Daifnya keluarga ini

Keadaan rumah yang didiami Siti Katieh sekeluarga akibat kesempitan hidup yang dihadapi. FOTO Norasikin Daineh

IBARAT sudah jatuh ditimpa tangga. Itu yang dapat digambarkan kehidupan Mohd Hamirkhan, 38, yang mengalami masalah sakit tulang belakang atau slipped disc akibat kemalangan di tempat kerja 10 tahun lalu dan akhirnya dibuang kerja selepas kerap bercuti sakit.

Akibat sakit dialaminya, Mohd kini tidak boleh melakukan kerja berat malah sering sakit sehingga terlantar beberapa hari di rumah menyebabkan dia tidak dapat bekerja tetap dan keluarganya terpaksa diuruskan isterinya, Siti Katieh Moht Sait, 37.

Menurut Siti Katieh, kehidupan mereka diibaratkan seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, selepas suaminya dibuang kerja beberapa tahun lalu.

“Suami ditimpa kemalangan jatuh dari tempat tinggi ketika mencuci tangki di sebuah loji air selain sering mengangkat barang berat menyebabkan dia mengalami slipped disc.

“Sejak itu, suami terpaksa mendapatkan rawatan di hospital termasuk melakukan pembedahan hempedu berbatu kesan daripada slipped disc yang dihadapi sehingga dia dibuang kerja kerana kerap mengambil cuti sakit,” katanya ditemui di kediamannya di Kampung Bingkul, Beaufort baru-baru ini.

Suri rumah itu berkata, sebelum ini dia juga turut bekerja di sebuah kedai perabot namun terpaksa berhenti kerana tiada sesiapa dapat mengurus empat anak dan suaminya yang terlantar sakit.

“Suami saya tidak boleh bekerja berat dan ada masa dia tidak boleh bangun beberapa hari kesan penyakitnya itu.

“Disebabkan kami berdua tidak dapat bekerja tetap, saya hanya menjalankan perniagaan atas talian di rumah untuk menyara keluarga termasuk perbelanjaan dua anak yang kini bersekolah di sekolah menengah,” katanya.

Katanya, disebabkan mereka tidak mampu dan memerlukan wang yang banyak untuk rawatan suaminya, mereka terpaksa menumpang tinggal di sebuah rumah yang pernah dijadikan kedai yang bukan saja usang tetapi atapnya juga bocor.

“Apabila hujan lebat, kami menggunakan besen atau baldi untuk menadah air berikutan atap bocor,” katanya.

Katanya, walaupun begitu dia dan suami kini dalam usaha untuk memperbaiki kehidupan mereka dengan memulakan perniagaan menjual ikan selepas berjaya mendapatkan pinjaman daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) baru-baru ini.

“Sempena Ramadan ini, kami mencuba nasib dengan berniaga ikan selepas mendapat pinjaman AIM untuk memulakan perniagaan.

“Saya harap dengan cara ini, saya dan suami dapat perbaiki kehidupan kami terutama menampung anak yang masih kecil dan bersekolah serta cuba mencari wang untuk mendapatkan mesin khas bagi penyakit suami hadapi,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan, boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Siti Katieh bernombor 1210429000263727. – Harian Metro