ESSCom rampas 3,500 rokok seludup ditinggalkan di tepi pantai Tawau

Antara rokok yang berjaya di rampas di tepi pandai Cowie Bay, Jalan Lama, Tawau – Foto Esscom

TAWAU, 19 Mei – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) merampas 3,500 karton rokok dibungkus dalam 14 plastik hitam yang ditinggalkan di tepi pantai, Cowie Bay, Jalan Tawau Lama di sini, malam tadi.

Komander ESSCom, DCP Datuk Hazani Ghazali berkata kejayaan itu hasil daripada maklumat orang awam dan pada 10.40 malam pihaknya melakukan pemeriksaan di kawasan berkenaan yang disyaki digunakan penyeludup untuk memunggahkan barangan seludup.

Antara rokok yang berjaya di rampas di tepi pandai Cowie Bay, Jalan Lama, Tawau – Foto Esscom

“Apabila anggota tiba di lokasi, terdapat sebuah bot laju dan beberapa bungkusan hitam disyaki rokok seludup diturunkan di kawasan berkenaan, namun menyedari kehadiran pasukan keselamatan, bot itu bertindak melarikan diri ke arah laut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hazani berkata, anggota menemui 14 bungkusan hitam yang mengandungi 3,500 karton rokok pelbagai jenis.

“Jenama rokok yang dirampas itu terdiri daripada rokok Djarum Hitam (400), Premium Gold (500), Astro Merah (1,000), Premium Hitam (1,000) serta Menara Hitam (600),” katanya lagi.

Menurut Hazani, kesemua barangan rampasan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu, katanya ESSCom berusaha dari semasa ke semasa untuk membanteras aktiviti penyeludupan dan isu kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Antara rokok yang berjaya di rampas di tepi pandai Cowie Bay, Jalan Lama, Tawau – Foto Esscom

“Antara usaha itu adalah dengan meningkatkan rondaan dan kehadiran anggota ESSCom di lokasi yang disyaki menjadi sarang ataupun staging points penjenayah rentas sempadan, melakukan penyeludupan manusia dan barang-barang kawalan serta bersubsidi,” katanya.

Sementara itu, beliau menasihatkan masyarakat agar segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan aktiviti yang mencurigakan ataupun melanggar undang-undang negara, dengan menghubungi Pusat Operasi ESSCom di talian 089-863181 untuk tindakan.

— BERNAMA