Majikan ikat amah Filipina pada pokok sebagai hukuman

GAMBAR menunjukkan Lovely diikat pada pokok di luar rumah oleh majikannya di Arab Saudi sebagai hukuman kerana menjemur perabot mahal milik mereka. FOTO Viral PressAgensi

RIYADH: Sebuah keluarga kaya di Riyadh, Arab Saudi dikecam selepas dilaporkan mengikat seorang pembantu rumah warga Filipina pada pokok sebagai hukuman kerana membiarkan satu perabot berharga dijemur di tengah panas.

Lovely Acosta Baruelo, 26, dilaporkan mencetuskan kemarahan majikannya kerana membiarkan perabot mahal itu di tengah panas sekali gus menyebabkan ia berisiko rosak.

Sebagai hukuman, majikannya mengikat pembantu rumah itu pada pokok di luar rumah kerana mahu mangsa merasai sendiri kesan berjemur di tengah panas.

Bagaimanapun, seorang lagi pembantu rumah yang melihat penderaan itu segera merakamkan gambar Lovely dan memuat naik di Facebook untuk meminta bantuan.

Selepas gambar itu tular, Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina mengeluarkan satu kenyataan memberitahu pihaknya sedar dengan kejadian berkenaan dan berusaha membawa Lovely pulang.

Pada 9 Mei lalu, Lovely tiba di lapangan terbang Manila selepas diselamatkan dan dia berterima kasih kepada yang membantunya dengan menularkan gambarnya di media sosial.

“Terima kasih banyak kepada mereka yang membantu saya. Saya juga mahu meminta pertolongan untuk membatu rakan saya yang masih berada di Arab Saudi.

“Mereka yang membantu dan memuat naik gambar saya di media sosial. Saya bimbang dengan keselamatan mereka dan berharap mereka diselamatkan,” katanya di akaun Facebook miliknya.

Lovely turut melepaskan kemarahannya kepada majikannya di Arab Saudi yang sering menderanya.

“Kamu akan mendapat balasannya, orang tua. Kamu sering memotong gaji dan mendera kami. Sebab itu kesihatan kamu teruk. Itu adalah balasan terhadap apa yang kamu lakukan terhadap kami,” tegasnya. – Agensi