Sebaik bercerai, Bella terus kerja

PERCERAIAN dengan suaminya, penyanyi Aliff Aziz hari ini langsung tidak menjejaskan tumpuan Bella Astillah terhadap kariernya.

Beberapa jam selepas bercerai dan bergelar ibu tunggal, Bella dengan keadaan tenang, tampil menjayakan majlis Iftar Amal Souk Raya 2019 bersama Madrasah Tahfiz Syazwan di Event Hall GMBB, Jalan Robertson, Kuala Lumpur.

Bella bersama kedua orang tuanya

“Sebenarnya jemputan untuk majlis ini sudah lama dibuat dan saya menyatakan persetujuan untuk hadir. Apabila berjanji, memang saya akan tunaikan biar apapun yang berlaku. Saya juga rapat dengan penganjurnya, abang Ayie dan dia terkejut dengan kehadiran saya,” katanya.

Bella yang ditemani ibu dan dua adiknya, mendapat tumpuan media dan tidak kekok melayan soalan yang diajukan terhadapnya.

“Saya faham ini tugas anda. Cuma saya harap semua pihak mendoakan yang terbaik buat saya. Seperti yang diketahui. Saya masih dibelenggu perasaan sedih dan masih dalam proses ‘move on’.

“Tipulah kalau saya tiada perasaan itu. Buat masa ini, saya banyak habiskan masa dengan keluarga terutama anak saya, Mohamad Ayden Adrean untuk meredakan kesedihan,” katanya.

Menurutnya secara perlahan-lahan dengan sokongan keluarga, dia percaya mampu melalui situasi sukar ini.

“Sebolehnya saya nak selamatkan rumah tangga saya. Tidak kisahlah orang kecam saya kata tiada akal. Rumah tangga ibarat kita bina masjid dan siapa yang sanggup merobohkannya. Tapi apa yang saya lalui sekarang adalah takdir dan saya reda,” katanya.

Bella mengakui dengan perpisahan yang berlaku, Aliff mampu menjalani kehidupan dan memperbaiki kesilapan yang dilakukan.

“Saya sendiri pun belum sempurna dan perlu banyak muhasabah diri,” katanya.

Pasangan ini sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur petang tadi. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *